Runtuhan gudang: CIDB siasat aspek keselamatan pembinaan

Pihak berkuasa masih menjalankan kerja-kerja mengalihkan rasuk utama bagi mencari dan menyelamat empat mangsa yang masih hilang.
Pihak berkuasa masih menjalankan kerja-kerja mengalihkan rasuk utama bagi mencari dan menyelamat empat mangsa yang masih hilang.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedang menjalankan siasatan awal berkaitan kes runtuhan struktur konkrit sebuah gudang di dalam pembinaan di Batu Maung di sini.

CIDB dalam kenyataannya berkata, siasatan tersebut dibuat berkenaan aspek keselamatan pembinaan mengikut Seksyen 34B Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).

Menurut kenyataan itu, siasatan itu antara lain menekankan berkaitan kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas kerja pembinaan dijalankan.

"Menurut Akta 520, mana-mana kontraktor yang melanggar kewajipannya dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan dan pelanggaran kewajipan itu menyebabkan kematian, mereka dianggap melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," kata kenyataan itu pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan antaranya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pihak berkuasa tempatan dalam mengambil kira sebarang ketidakpatuhan yang turut melibatkan akta, undang-undang dan peraturan yang berada di bawah kawalan mereka.

"Di dalam insiden runtuhan gudang logistik yang masih dalam pembinaan di Batu Maung malam tadi, tiga pekerja binaan warga Bangladesh maut manakala dua parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

"Maklumat awal daripada pegawai penguatkuasa CIDB Pulau Pinang yang berada di tapak kejadian mendapati 14 batang tiang rasuk telah runtuh menyebabkan lantai konkrit jatuh menghempap pekerja yang sedang berada di tingkat bawah," kata kenyataan itu.

Awal pagi Rabu, polis mengesahkan tiga buruh binaan maut, dua cedera parah manakala empat lagi masih hilang dalam kejadian runtuhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mangsa merupakan warga negara Bangladesh.

Sebelum kejadian, 18 pekerja sedang bekerja, namun sembilan daripada mereka keluar untuk bersolat.

Susulan daripada itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan notis henti kerja serta-merta terhadap projek pembinaan gudang tersebut.

Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran berkata, perintah berhenti kerja itu dikeluarkan awal pagi Rabu kepada pihak pemaju dan jurutera projek berkenaan.