Runtuhan gudang: Ambil tindakan terhadap pihak cuai

Tiga buruh binaan disahkan maut dan dua cedera parah dalam kejadian runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang berhampiran LKIM di Batu Maung dekat sini pada Rabu. Gambar kecil: Lee Lam Thye
Tiga buruh binaan disahkan maut dan dua cedera parah dalam kejadian runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang berhampiran LKIM di Batu Maung dekat sini pada Rabu. Gambar kecil: Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang didapati cuai berhubung insiden runtuhan projek pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Pulau Pinang.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, insiden itu merupakan perkara yang serius, kerana ia melibatkan isu keselamatan pekerja.

Tegasnya, pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu perlu dibawa ke muka pengadilan.

"Kejadian ini melibatkan isu kehilangan nyawa manusia, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pihak yang cuai," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam kejadian pada jam 9.58 malam itu, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut selepas gudang logistik dalam pembinaan itu runtuh manakala dua lagi mangsa dilaporkan parah dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

Dalam perkembangan yang sama, Lam Thye berkata, untuk mengelak insiden sama berulang beliau menggesa supaya setiap projek pembinaan diwujudkan satu jabatan khas untuk menjaga aspek keselamatan pekerja.

"Perlu adanya penyelia keselamatan yang bertanggungjawab memantau setiap peringkat pembinaan dan mereka ini juga mesti bertanggungjawab untuk memberi nasihat serta teguran kepada pekerja.

"Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan pekerja pembinaan terdiri daripada warga asing yang tidak pakar mengenai aspek keselamatan," katanya,

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ketika menyentuh mengenai kejadian pekerja di projek berkenaan yang bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian akibat ketakukan dan tiada permit kerja, Lam Thye menyarankan supaya pihak yang mengambil pekerja warga asing ini perlu mempunyai etika dan tanggungjawab..

"Pihak yang ambil warga asing berkerja mesti bertanggungawab, pastikan mereka ada permit kerja dan jangan sesekali melanggar undang-undang," katanya.