Runtuhan gudang: CAP gesa suruhanjaya siasatan ditubuhkan

Runtuhan gudang di Batu Maung yang mengorbankan tiga nyawa pekerja warga Bangladesh manakala dua lagi parah. Gambar kecil: Mohideen
Runtuhan gudang di Batu Maung yang mengorbankan tiga nyawa pekerja warga Bangladesh manakala dua lagi parah. Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar satu suruhanjaya siasatan ditubuhkan segera bagi menyiasat kejadian runtuhan rasuk di tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung yang berlaku pada malam Selasa.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan yang teliti dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) perlu menyiasat dengan menyeluruh insiden tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

"CAP amat terkejut dan kecewa apabila sebuah lagi bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh. Satu suruhanjaya siasatan perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat kejadian ini.

"Memandangkan tempat kejadian itu berdekatan dengan pantai yang terdiri daripada tanah pasir dan batu kerikil, sebarang struktur yang dibina di kawasan itu perlu dipastikan benar-benar selamat dengan mengambil kira semua langkah keselamatan terutamanya kajian geologi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, insiden itu perlu diberi perhatian kerana melibatkan banyak pihak selain melibatkan nyawa pekerja.

"Memandangkan statistik kematian dalam kemalangan pekerjaan adalah tinggi maka keselamatan untuk pekerja perlu diutamakan. Mengikut DOSH, 6,793 kemalangan pekerjaan disiasat di Malaysia pada 2020.

"Daripada jumlah itu, 193 kematian dan 256 hilang upaya kekal yang direkodkan pada tahun itu melibatkan pekerja asing.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, pihak berkuasa berkaitan perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan secara tegas serta berterusan bagi memastikan semua langkah keselamatan di tapak pembinaan telah dipatuhi. Langkah berjaga-jaga perlu diambil berat apabila bekerja dalam situasi bahaya," katanya.

Mohideen berkata, tindakan tegas yang diambil boleh memberikan mesej kepada syarikat pembinaan bahawa undang-undang perlu dipatuhi setiap masa.

"Pemilik premis perlu bertanggungjawab atas kemalangan yang berlaku. Dengan meletakkan notis 'utamakan keselamatan' di tapak pembinaan tidak bermakna ia membebaskan pihak industri pembinaan daripada liabiliti bagi kecederaan dan kematian.

"Begitu juga notis ini tidak membebaskan DOSH daripada memastikan bahawa semua langkah keselamatan dipatuhi," katanya.

Ujar beliau, dalam dua kes utama di Pulau Pinang sebelum ini iaitu perancah runtuh di Jambatan Kedua Pulau Pinang dan sirip dinding runtuh di Bangunan UMNO setinggi 21 tingkat, suruhanjaya siasatan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pulau Pinang mendapati berlaku ketidakcekapan dan kecuaian.

"Setiap kali berlaku kemalangan, kita akan tertanya-tanya kenapa ia berlaku. Adakah ia cuma suatu kemalangan ataupun berlaku kerana kecuaian? Sekiranya ia berlaku disebabkan oleh kecuaian, maka siapakah yang patut dipersalahkan?

"Pemaju, kontraktor, pekerja binaan atau pihak berkuasa sendiri?

"Hanya dengan penguatkuasaan undang-undang secara tegas serta berterusan akan menjadikan pihak yang bertanggungjawab dalam industri pembinaan serta pihak berkuasa berkaitan akan lebih mematuhi undang-undang," katanya.

Kata Mohideen lagi, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) juga perlu memainkan peranan mereka.

"Sebagai agensi bertanggungjawab, NIOSH perlu menjalankan penyelidikan, membuat cadangan untuk pencegahan kecederaan dan penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan.

"Selain itu, mereka perlu lebih banyak mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya.

Dalam kejadian malam Selasa lalu, polis mengesahkan tiga buruh binaan maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian runtuhan tersebut.

Kesemua mangsa merupakan warga negara Bangladesh.

Sebelum kejadian, 18 pekerja sedang bekerja namun sembilan daripada mereka keluar untuk bersolat.

Bagaimanapun, empat pekerja yang dikatakan tertimbus sebenarnya masih hidup selepas mereka melarikan diri kerana ketakutan.

Susulan daripada itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan notis henti kerja serta merta terhadap projek pembinaan gudang tersebut.

Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran berkata, perintah berhenti kerja itu dikeluarkan awal pagi Rabu kepada pihak pemaju dan jurutera projek berkenaan.