Runtuhan gudang: JKKP arah henti kerja di kawasan insiden

Anggota bomba bersama agensi penyelamat yang lain melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam runtuhan sebuah gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas. - Foto Bernama
Anggota bomba bersama agensi penyelamat yang lain melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam runtuhan sebuah gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan serta-merta semua aktiviti kerja di kawasan insiden runtuhan projek pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Pulau Pinang bagi tujuan siasatan.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, JKKP Pulau Pinang telah diarah menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca berlakunya tragedi itu semalam.

"Siasatan bertujuan untuk menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," menurut KSM.

Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam di tempat kerja di bawah kawalannya.

Dalam kejadian jam 9.58 malam itu, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut selepas gudang logistik yang sedang dalam pembinaan itu runtuh manakala dua lagi mangsa dilaporkan parah dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!