Runtuhan gudang: Titijaya akan jalankan siasatan menyeluruh

Siasatan menyeluruh berhubung insiden itu akan dijalankan selepas operasi mencari dan menyelamat selesai. - Foto Bernama
Siasatan menyeluruh berhubung insiden itu akan dijalankan selepas operasi mencari dan menyelamat selesai. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Titijaya Land Berhad (Titijaya), pemilik gudang logistik yang runtuh di tapak pembinaannya semalam di Bayan Lepas, Pulau Pinang, akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu selepas operasi mencari dan menyelamat selesai.

Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata, tindakan tegas akan diambil jika siasatan mendapati wujud sebarang kesilapan manusia atau unsur kecuaian yang menyumbang kepada tragedi mengorbankan tiga pekerja Bangladesh dan menyebabkan dua lagi cedera parah.

"Kemas kini mengenai siasatan itu akan diberikan apabila terdapat maklumat baharu,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, keutamaan syarikat itu ketika ini ialah memberi sokongan dan menyalurkan bantuan kepada keluarga mangsa yang sedang bersedih serta meminta semua pihak agar menghormati privasi mereka pada masa yang mencabar ini.

"Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan menzahirkan rasa keprihatinan yang ikhlas terhadap mereka yang cedera. Doa dan ingatan kami bersama ahli keluarga serta individu yang terkesan dengan insiden malang ini,” katanya.

Poh Yit juga berkata, semua kerja di tapak binaan itu telah ditangguhkan dan kumpulan tersebut kini bekerjasama rapat dengan kontraktor, pihak berkuasa berkaitan serta kakitangan perubatan bagi memastikan kelancaran operasi mencari dan menyelamat.

Dalam insiden pada jam 9.58 malam tadi, tiga pekerja Bangladesh maut apabila gudang logistik yang sedang dibina runtuh manakala dua lagi cedera parah. - Bernama

Artikel Berkaitan: