'Semalam ayah meninggal, hari ini mak pula'

Menolak motosikal sambil membawa anak taktik digunakan seorang lelaki bagi memperdaya pengguna lebuh raya.
Menolak motosikal sambil membawa anak taktik digunakan seorang lelaki bagi memperdaya pengguna lebuh raya.
A
A
A

RAWANG - Menolak motosikal sambil membawa anak didakwa menjadi taktik seorang lelaki memperdaya pengguna lebuh raya di Rawang untuk mendapatkan wang dengan mudah.

Pengguna Facebook, Elia Yacob yang berkongsikan perkara itu meminta orang awam untuk berhati-hati dengan scammer tepi lebuh raya selepas suaminya menjadi mangsa individu tersebut, baru-baru ini.

Kongsi Elia, suaminya memberhentikan kereta bagi membantu lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Majid dan anaknya, Kamal selepas dilihat berjalan kaki di tepi lebuh raya Guthrie dari Rawang sambil menolak motosikal kerana kehabisan minyak.

"Suami saya yang kebetulan membawa pacuan empat roda mengangkat motosikal pak cik itu dan diletakkan di bahagian belakang kenderaan sebelum menghantar mereka ke stesen minyak berdekatan.

"Bayangkan jumpa mereka di Lebuhraya Guthrie, stesen minyak terdekat ialah di Shah Alam. Jauh nak tolak (motosikal). Aduh, simpati, kesian," kongsinya di Facebook.

Katanya, Majid memberitahu yang dia dari Tanjong Malim mahu menziarah bapanya yang meninggal dunia dan dalam perjalanan ke Jasin.

"Apabila ditanya, kalau nak ke Jasin, kenapa lalu Guthrie? Pak cik itu memberitahu yang mereka dalam perjalanan ke Klang kerana ada pusat zakat yang memberi wang kecemasan. Aduh, simpati, kesian lagi.

"Sampai di stesen minyak, suami turunkan motornya sambil dibantu beberapa kontraktor yang sedang membuat kerja pembaikan.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum turun dari kereta, disebabkan suami mahu cepat nak kejar urusan di bank, maka ditinggalkan pak cik tu di sana dengan wang tunai RM150," kongsinya.

Bagaimanapun katanya, sehari selepas kejadian, suspek dilihat berada di tepi Lebuh raya Utara Selatan (Plus) selepas Rehat dan Rawat (R&R) Rawang dan sedang mencari mangsa baharu.

"Pemandu X50 pula jadi mangsa dan kali ini, mak dia pula (didakwa) mati dan nak balik ke Batang Kali.

"Bila ditanya mana duit RM150 semalam? Dia boleh minta nombor akaun untuk transfer (pindahkan). Banyak pula duit kau ye pak cik? Sempat simpan dalam bank lepas itu cari mangsa baru," luahnya.

Elia berkata, tak dapat dipastikan identiti sebenar suspek sama ada merupakan rakyat Malaysia atau Rohingya.

"Punya tuhan nak tunjuk, baru semalam suami tolong, hari ini dah dapat jawapan yang ditolong itu buat duit dengan simpati rakyat Malaysia. Baik hati kita dengan mudah diperguna," katanya.