KKR cadang wajibkan lorong motosikal di lebuh raya baharu

NANTA - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
NANTA - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Setiap pembinaan lebuh raya baharu di masa hadapan wajib menyediakan lorong khas laluan motosikal bagi menjamin keselamatan penunggang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexender Nanta Linggi berkata, cadangan itu merupakan antara yang diselitkan dalam Rancangan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya (HNDP).

"Di masa hadapan apabila dirancangkan pembinaan lebuh raya baharu, kita mungkin boleh letakkan syarat untuk wajib (bina) lorong motosikal. (Walaupun) ia akan beri implikasi terhadap kos, tetapi kita prihatin nyawa.

"Dalam HNDP, KKR mungkin akan buat dasar dan diangkat ke kabinet untuk mewajibkan lebuh raya yang bakal dibina mesti ada lorong motosikal.

"Selagi belum buat, sekarang kita lakukan yang terbaik dengan melebarkan jalan untuk beri laluan kepada mereka (penunggang motosikal)," katanya ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Menurut Ahli Parlimen Kapit itu, ketika ini pelebaran jalan sedang giat dilakukan namun mengakui tidak mudah dilaksanakan ekoran tiada ruang sesuai di laluan jalan sedia ada.

Nanta ketika sesi Town Hall Rakyat bersama di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Nanta ketika sesi Town Hall Rakyat bersama di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Justeru beliau menjelaskan, KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memperbanyakkan tempat berteduh penunggang motosikal dibina di lebuh raya seluruh negara di bawah Inisiatif Bitara Malaysia Madani: Kementerian Kerja Raya.

Artikel Berkaitan:

"Kita tambah dan perbanyakkan lagi tempat berteduh untuk penunggang motosikal semasa musim hujan.

"Kementerian dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan saya difahamkan, kita menepati sasaran tahun ini," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, sebanyak 119 tempat berteduh penunggang motosikal akan dibina di lebuh raya membabitkan 33 syarikat konsesi.

Jumlah itu merupakan tambahan daripada 353 tempat berteduh motosikal yang sudah tersedia sebelum ini.