Bayar tol guna kad debit, kredit di 11 lebuh raya

Nanta menggunakan kad debit di lorong SPT di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Nanta menggunakan kad debit di lorong SPT di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) yang membolehkan pengguna membayar menggunakan kad debit dan kredit mula dilaksanakan di 11 lebuh raya di Lembah Klang dan Pulau Pinang bermula pada Jumaat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan itu akan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol.

Menurutnya, ia sekali gus memberi alternatif baharu kepada kaedah pembayaran tol sedia ada menggunakan kad Touch 'n Go, Smart Tag dan Radio Frequency Identification (RFID).

"Saya bangga kerana Lembaga Lebuhraya (LLM) dapat tepati janji supaya 11 syarikat konsesi ini untuk membuka sekurang-kurangnya satu lorong SPT.

"Kita juga sedang menimbang untuk menambah lebih banyak lorong untuk SPT di seluruh negara bagi memudahkan pengguna.

"Buat masa ini, kita tak boleh buat 100 peratus di semua lebuh raya kerana faham implikasi lain yang mungkin timbul dan tidak mahu beri masalah kepada pihak konsesi," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan SPT di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), di sini pada Jumaat.

Beliau sebelum itu memandu sendiri dan melalui Lorong SPT dan disertai Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, Datuk Zahrul Hakim Abdullah.

Pelaksanaan SPT adalah hasil inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nanta, pengguna kenderaan kelas satu (kenderaan persendirian) kini boleh membuat bayaran tol secara SPT di beberapa lebuh raya terpilih.

"Antara yang terlibat ialah Lebuhraya Besraya, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang - Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

"Selain itu, Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya Kuala Lumpur - Putrajaya (MEX), Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (Duke); dan Lebuhraya Kulim - Butterworth (BKE)," jelasnya.

Tambah Nanta, pelaksanaan itu adalah sejajar dengan kempen MYJalan bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya.

Selain itu katanya, pelaksanaan SPT di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dijangka akan bermula pada penghujung tahun 2023 bagi membolehkan penelitian dan perincian lanjut dibuat oleh syarikat konsesi demi kemudahan pengguna lebuh raya.

"Pengurusan PLUS Malaysia Berhad telah diminta untuk menyegerakan pelaksanaan SPT ini agar pengguna JPP dapat menggunakannya pada penghujung tahun ini," katanya.