UPSR wajar dikembalikan semula

Selepas tiga dekad dilaksanakan, UPSR mengundur diri daripada sistem peperiksaan negara ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara. - Gambar hiasan
Selepas tiga dekad dilaksanakan, UPSR mengundur diri daripada sistem peperiksaan negara ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara. - Gambar hiasan
A
A
A

KEBIMBANGAN disuarakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai kualiti pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berikutan ketiadaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ada kewajarannya.

Asyraf dalam satu hantaran di media sosial miliknya minggu lalu mendedahkan, tahap pencapaian ujian kemasukan ke institusi berkenaan rendah berikutan ketiadaan peperiksaan utama berkenaan.

Pendapat itu bagaimanapun bercanggah dengan pendirian kerajaan menerusi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang secara konsisten menegaskan, kerajaan tidak berhasrat mengembalikan UPSR walaupun menerima desakan pelbagai pihak.

Tegas Fadhlina, tumpuan kementeriannya kini kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 bagi memastikan kualiti pendidikan yang lebih baik pada masa hadapan.

UPSR diperkenalkan pada 1988 dan dimansuhkan oleh Menteri Pendidikan sebelum ini ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Di ruangan komen, pelbagai pandangan disuarakan dalam kalangan ibu bapa berkaitan ketiadaan peperiksaan utama ini - jika pun bukan bagi tujuan kemasukan ke MRSM - beberapa isu lain menjadi kegusaran mereka.

Antaranya berkait tumpuan anak-anak di sekolah yang disifatkan semakin hilang fokus kerana tiada 'tekanan' dikenakan bagi menguji prestasi akademik mereka dalam peperiksaan sebenar.

Walaupun terdapat ujian di peringkat sekolah, namun ramai berpandangan, tanpa peperiksaan utama, guru dan ibu bapa umpama hilang arah tuju untuk mempersiapkan pelajar melangkah ke sekolah menengah yang lebih mencabar.

Artikel Berkaitan:

Sudahlah silibus mata pelajaran semakin 'kejam', ramai dalam kalangan ibu bapa juga keliru dengan sistem penilaian dan pentaksiran yang digunakan bagi menggantikan peperiksaan berpusat itu.

Tiada lagi sistem nombor kedudukan sebaliknya cuma ada Tahap Penguasaan menyukarkan ibu bapa menilai prestasi anak-anak mereka di dalam kelas.Tambahan pula, pelajar-pelajar ini hanya akan menduduki peperiksaan sebenar ketika berada di Tingkatan Lima apabila Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) juga telah dimansuhkan.

Melihat kepada desakan yang semakin kuat ini, ada baiknya jika Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil sedikit masa mendengar dan mengamati pandangan semua pihak.