MOTAC semak semula kelayakan agensi pelancongan urus umrah

MOTAC akan meneliti dan menyemak semula kelayakan syarikat agensi pelancongan terutamanya perniagaan berkaitan perjalanan mengerjakan umrah di Arab Saudi. - Foto Bernama
MOTAC akan meneliti dan menyemak semula kelayakan syarikat agensi pelancongan terutamanya perniagaan berkaitan perjalanan mengerjakan umrah di Arab Saudi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan meneliti dan menyemak semula kelayakan syarikat agensi pelancongan terutamanya perniagaan berkaitan perjalanan mengerjakan umrah di Arab Saudi.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ini susulan aduan orang ramai khususnya jemaah umrah yang menjadi mangsa penipuan syarikat agensi pelancongan masih diterima walaupun tindakan tegas seperti membatalkan lesen terhadap syarikat terbabit sudah dilaksanakan.

Beliau berkata, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan akan mengetuai jawatankuasa semakan terbabit dan membentangkan laporan lengkap dalam tempoh sebulan.

"Ini termasuk mengkategorikan syarikat yang benar-benar menjalankan perniagaan dengan baik dan sebaliknya serta laporan terperinci mengenai rekod syarikat-syarikat ini sepanjang menguruskan jemaah umrah.

"Tindakan ini bagi memastikan syarikat agensi pelancongan lebih bertanggungjawab semasa menjalankan perniagaan dan tidak mengabaikan pelanggan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, King Sing berkata, pihaknya akan menyelesaikan beberapa isu lain seperti harga dan prosedur permohonan boleh dibuat melalui MOTAC, sebelum MOTAC menyerahkannya kepada agensi pelancongan yang bertanggungjawab bagi menjimatkan kos yang tidak perlu dikenakan kepada pelanggan.

"Syarikat agensi pelancongan sama ada yang telah lama beroperasi mahupun baharu, perlu melaporkan setiap aktiviti berkaitan pelanggan mereka sepanjang perjalanan mengerjakan umrah kepada MOTAC bagi pemantauan secara dekat dan memastikan segala janji yang ditawarkan kepada pelanggan dikotakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi bagi membincangkan tentang kuota.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya MOTAC diberi amanah, jawatankuasa yang diketuai oleh timbalan menteri akan ditubuhkan untuk menguruskan perkara ini daripada diberikan secara terus kepada syarikat agensi pelancongan agar proses jemaah umrah dari negara kita dapat berjalan dengan lebih lancar, telus dan bertanggungjawab serta memastikan kejadian sama khususnya membabitkan penipuan tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya.

King Sing berkata, inisiatif yang dilakukan MOTAC itu diharapkan dapat membantu dan melindungi jemaah umrah daripada terus menjadi mangsa penipuan selain memberi peringatan kepada syarikat agensi pelancongan supaya tidak memperdaya pelanggan serta berusaha memberikan perkhidmatan terbaik.

"Saya juga merayu agar semua syarikat agensi pelancongan pengurusan umrah sentiasa jujur dalam menjalankan perniagaan mereka serta sentiasa menunaikan tanggungjawab sepenuhnya dalam memberi tawaran perkhidmatan yang dijanjikan.

"Syarikat-syarikat berkenaan adalah dilarang untuk memasarkan dan menawarkan perkhidmatan yang tidak mampu diberikan seperti tidak mempunyai kuota atau kapasiti logistik yang sepatutnya,” katanya. - Bernama