SPRM semak semula semua kes dadah babit pegawai, anggota JSJ Johor

Azam berucap pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA pada Rabu. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Azam berucap pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA pada Rabu. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SEPANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akan menyemak semula kes dadah membabitkan pegawai dan anggota polis serta seorang pegawai patologi di sebuah hospital di Johor yang ditahan minggu lalu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya juga sedang meneliti semua kenyataan daripada suspek yang ditahan berhubung kes tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat dan merungkai kaitan individu terlibat dengan pihak yang memberi rasuah bagi menyelesaikan kes dadah.

"Kita akan teliti semua perkara berkaitan termasuk kenyataan yang diterima daripada kesemua suspek," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023.

Mengulas lanjut, Azam berkata, jika wujud kesalahan jenayah dalam siasatan semula itu, maka proses selanjutnya akan dilaksanakan oleh pihak SPRM.

Kata beliau, pihak SPRM turut mengadakan kerjasama dengan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Siasatan masih dijalankan pada masa dan mendapat kerjasama daripada pihak JIPS.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan siasat di mana berlakunya jenayah rasuah atau kes yang melibatkan salah guna kuasa.

"SPRM akan teliti setiap kenyataan daripada semua ditahan dan melihat kaitan dengan pihak yang memberi wang rasuah," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan, seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendah termasuk seorang wanita ditahan SPRM, susulan agensi penguat kuasa itu menahan seorang pegawai patologi sebuah hospital.

Penahanan itu dibuat susulan wujud persoalan berhubung ratusan kes-kes dadah yang mungkin dilepaskan dan perlu disiasat semula ekoran aktiviti rasuah itu.

Hasil siasatan SPRM mendapati 10 pegawai kanan dan 33 penolong pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) seluruh daerah di Johor dipercayai terbabit dalam merasuah ahli patologi sejak 2018 hingga 2022.

SPRM tetap pantau e-sports secara teliti

Dalam pada itu Azam berkata, SPRM akan terus memantau sebarang aktiviti berunsur rasuah dalam sukan elektronik atau e-sports di negara ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan media antarabangsa, terdapat kenyataan menyatakan tiada perundangan atau kerangka dasar yang mengawal selia operasi pengendali sukan elektronik.

Ekoran itu kata beliau, ia menyebabkan sukan elektronik di seluruh dunia terdedah dengan dua risiko rasuah.

"Dua risiko itu adalah kejohanan e-sports yang kompetitif dan tidak terkawal, seterusnya penipuan data digital sukan seperti memanipulasi keputusan perlawanan melalui pelbagai platform.

"Selain terdapat isu rasuah dan pengaturan perlawanan, transaksi digital juga menimbulkan masalah kepada pihak penguat kuasa untuk membuat penjejakan.

"Komunikasi satu pihak dengan pihak lain termasuk dari negara luar juga berlaku di dalam e-sports kerana ia adalah dunia terbuka," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023.

Mengulas lanjut, Azam berkata, walaupun SPRM masih belum menerima sebarang aduan berhubung kes rasuah dalam sukan elektronik namun ada menerima maklumat berhubung perkara itu.

Tegasnya, SPRM akan sentiasa memantau perkara tersebut secara teliti agar tidak menular dalam kalangan masyarakat.

"Jangan sudah berlaku nanti, baru hendak sedar dan mahu bertindak. Tidak boleh begitu.

"Oleh sebab itu, SPRM menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta beberapa persatuan sukan yang lain untuk menangani isu ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya tidak menolak masih berlaku perbuatan rasuah dalam dunia sukan.

"Bukan e-sports sahaja ada aktiviti rasuah, malah rasuah dalam dunia sukan lain masih berlaku," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Penahanan Jasmine bukan jaminan dapat berkas Jho Low - SPRM

Polis Johor sahkan pegawai kanan, dua anggota ditahan SPRM