JBPM tubuh Pasukan Gerak Cepat hadapi Monsun Timur Laut

Abdul Wahab (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama sebahagian penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Bomba dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun 2022 di Dewan Muhammad Adib Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti pada Ahad.
Abdul Wahab (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama sebahagian penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Bomba dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun 2022 di Dewan Muhammad Adib Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Pasukan Gerak Cepat Monsun Timur Laut (MTL Red Team) telah dibentuk sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pasukan itu dilengkapi pelbagai aset termasuklah aset khas bagi membolehkan mereka bergerak membantu balai berhampiran dengan lokasi bencana banjir.

Beliau berkata, pihaknya menempatkan pasukan itu di empat zon Pantai Timur, Utara, Selatan dan Borneo yang dirasakan cukup strategik.

"Apabila berlaku banjir, kita telah zonkan (pasukan) pantai timur ditempatkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Terengganu. Di zon Selatan ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Johor.

"Untuk zon utara, pasukan tersebut akan ditempatkan di Pangkalan Udara JBPM di Bertam, Pulau Pinang manakala di Borneo, mereka ditempatkan di Miri, Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Bomba dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun 2022 di Dewan Muhammad Adib Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti di sini pada Ahad.

Menurut Abdul Wahab, pasukan ini telah dipersiapkan bagi membantu pemindahan mangsa yang terkepung akibat banjir serta menghantar bekalan makanan ke lokasi diperlukan khususnya kawasan pedalaman.

Beliau menambah, JBPM turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melancarkan operasi membantu mangsa banjir ketika MTL.

Artikel Berkaitan:

Abdul Wahab berkata, pihaknya memberi pelbagai perkhidmatan termasuk bersedia membawa doktor atau jururawat ke lokasi diperlukan ataupun memindahkan mangsa banjir ke hospital.

Tambah beliau, JBPM turut membekukan cuti 80 peratus pegawai dan anggotanya sebagai persiapan menghadapi banjir itu.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, sebanyak 5,648 kawasan 'hotspot' banjir ketika musim MTL telah dikenal pasti di seluruh negara.

"Untuk Kedah, kita kenal pasti 259 'hotspot' yang (mana) kita telah pun merancang, mengatur gerak sekiranya berlaku hujan luar biasa, maka bomba membuat rondaan di kawasan-kawasan tersebut," katanya.

Menurut Abdul Wahab, sekiranya perlu, pihaknya akan membantu dan bertindak memindahkan mangsa ke pusat penempatan sementara (PPS).