Lelaki mangsa gangguan seksual perlu berani tampil buat laporan

Nancy (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan pelancaran Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Ahad.
Nancy (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan pelancaran Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual tidak perlu malu sebaliknya perlu berani tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa terutamanya kepada tribunal anti gangguan seksual yang baharu ditubuhkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan kajian, kebanyakan lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual dilihat lebih cenderung memilih untuk berdiam diri berbanding wanita.

"Sebenarnya, lebih ramai wanita yang tampil membuat laporan berbanding lelaki, tapi kami dapat bukti bahawa ramai juga lelaki yang turut menjadi mangsa.

"Situasinya lebih kurang dengan wanita, di tempat kerja. Itulah kami tak tahu sebab kami bukan lelaki, tetapi kesnya ada tetapi bila kita dapat laporan daripada polis itu tak ramai tetapi ikut laporan memang ramai.

"Oleh itu, kita nak menggalakkan supaya mereka (lelaki), untuk tampil dan jangan takut, terutamanya kanak-kanak dan juga pelajar kerana kita sebagai ibu memang mahukan anak-anak kita menjadi orang yang berani; bukan hanya berani bergaduh tetapi berani untuk bertindak dan supaya dapat berikan mereka ini keyakinan," katanya kepada pemberita.

Nancy berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan perasmian Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On.

Sementara itu, Nancy berharap agar program-program berunsur motivasi dianjurkan dalam usaha memberikan keyakinan khususnya kepada golongan anak-anak agar berani bertindak.

Artikel Berkaitan:

"Itu saya akan cakap esoklah (Isnin). Apa pun, kita tak mahu ada kesulitan dari segi lelaki atau wanita, dari segi layanan untuk mereka melaporkan (gangguan seksual) ini, seharusnya tiada beza," katanya.

Untuk rekod, pogram berkenaan merupakan siri terakhir bagi Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual bagi 2023.

Difahamkan, program berkenaan bakal dianjurkan lagi pada tahun hadapan dalam usaha mewujudkan kesedaran masyarakat berhubung jenayah gangguan seksual.