Mangsa buli perlu berani buat aduan

Ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab terhadap salah laku yang dilakukan oleh anak-anak kerana pembentukan keperibadian bermula dari rumah. - Gambar hiasan
Ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab terhadap salah laku yang dilakukan oleh anak-anak kerana pembentukan keperibadian bermula dari rumah. - Gambar hiasan
A
A
A

GEJALA buli kerap berlaku dalam kalangan remaja terutama melibatkan pelajar sekolah dan keadaan itu ibarat ‘duri dalam daging’ di negara ini.

Statistik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam lima tahun menunjukkan sebanyak 264 kes direkodkan pada 2018, manakala sebanyak 244 kes pada 2019, 122 kes pada 2020, 51 kes pada 2021 dan 120 kes pada tahun lalu.

Berdasarkan statistik itu, ternyata fenomena buli tiada penghujungnya dalam kehidupan pelajar sekolah.

Tingkah laku agresif ini bukan hanya kepada perbuatan mendera atau mencederakan tetapi membabitkan tindakan yang menjejaskan kesihatan mental menerusi perbuatan atau lisan.

Buli tidak hanya berlaku di sekolah berasrama penuh atau berprestasi tinggi semata-mata, malah berlaku di sekolah agama, pusat tahfiz atau mana-mana pusat pendidikan berasrama termasuk institusi pengajian tinggi.

Di sekolah berasrama misalnya, kes buli dianggap sebagai kitaran kerana mangsa yang pernah dibuli apabila meningkat usia melakukan tindakan sama kepada pelajar lain kerana mahu membalas dendam.

Jika berkawan dengan pembuli, tidak mustahil pelajar mudah terpengaruh dan terikut-ikut perbuatan rakan supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya.

Nilai-nilai murni pelajar semakin pupus dan keadaan itu jika tidak dibendung akan membawa impak sosial lebih parah hingga ada mangsa buli mengalami kecederaan serius sama ada mental atau fizikal.

Artikel Berkaitan:

Punca berlakunya gejala buli disebabkan beberapa faktor misalnya pengaruh rakan sebaya, kelemahan institusi kekeluargaan dan pendidikan serta kurang pengetahuan dari sudut undang-undang.

Lebih membimbangkan, mangsa buli pula berdepan dengan kesan terhadap kesihatan fizikal dan emosi dalam kehidupan sama ada dalam jangka masa yang pendek atau panjang.

Menurut kajian, lebih 85 peratus mangsa buli terpaksa menderita kesan psikologi dan emosi dalam jangka masa panjang selain menghidapi penyakit berkaitan dengan tekanan dalam kehidupan.

Penyelidikan menunjukkan bahawa mangsa buli lebih cenderung untuk berasa tertekan, kesunyian, cemas, keletihan dan berfikir untuk mencederakan diri dan orang lain.

Lebih memburukkan keadaan apabila mangsa buli mengalami masalah psikologi hingga menyebabkan mereka hilang keyakinan diri serta tiada matlamat hidup hingga berasa takut untuk ke sekolah.

Masalah ini memberi kesan kepada keharmonian dan keselamatan negara kerana perlakuan tidak sihat itu hanya melahirkan generasi memiliki sifat ganas hingga terdorong melalukan jenayah.

Jika keadaan ini berterusan, ia menjejaskan generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa depan.

Justeru, ibu bapa perlu berperanan untuk memberitahu dan mendidik anak-anak mereka supaya tidak melakukan perbuatan tersebut.

Ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab terhadap salah laku yang dilakukan oleh anak-anak kerana pembentukan keperibadian bermula dari rumah.

Mereka juga perlu menasihatkan anak-anak supaya berani melaporkan apa yang berlaku di sekolah termasuk kejadian buli.

Ibu bapa sewajarnya memberikan perhatian dan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dan terpengaruh dengan gejala sosial.

Selain itu, peranan pihak sekolah juga penting bagi mengatasi masalah buli antaranya dengan menyediakan saluran untuk pelajar mengadu masalah.

Pihak sekolah juga tidak boleh menyorokkan kes buli bagi menjaga nama baik, sebaliknya perlu bertindak tegas bagi memastikan perlakuan itu tidak berulang pada masa akan datang.

Setiap guru, pelajar dan juga kakitangan sekolah juga perlu berperanan menjadi mata-mata terhadap disiplin pelajar.

Cadangan lain antaranya sekolah juga wajar dan perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani masalah dan isu buli di sekolah.

Pengawasan sepanjang masa perlu diberi perhatian memandangkan isu ini bukanlah suatu perkara kecil kerana boleh membawa maut.

Kempen kesedaran juga perlu dipergiatkan yang bertujuan meningkat kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah.

Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyediakan Portal Aduan Buli juga harus dipuji sebagai salah usaha mengelakkan kejadian buli daripada terus berleluasa.

* Mohd Izzatul Izuan ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor/KL