Pas ketandusan calon hingga terpaksa letak Ahmad Samsuri - UMNO

Nik Dir, Ahmad Samsuri
Nik Dir, Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Tindakan Pas meletakkan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menunjukkan parti itu ketandusan calon berpengaruh bagi mewakili rakyat di Parlimen Kemaman.

Timbalan Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Nik Dir Wan Ku berpandangan ini kerana ketiadaan tokoh berwibawa dalam kepimpinan Pas yang boleh menyaingi calon Barisan Nasional (BN) menyebabkan parti itu terpaksa meletakkan individu yang memegang jawatan Menteri Besar sebagai calon di kawasan Parlimen tersebut.

"Kepimpinan Pas mungkin memikirkan tiada tokoh yang boleh menyaingi calon BN kali ini.



"Jadi nak tak nak parti itu terpaksa ambil tokoh nombor satu dan ada nama besar di Terengganu sebagai calon di Parlimen Kemaman.

"Memang tak ada calon yang boleh diketengahkan dari Pas sebab itu Pas memilih Ahmad Samsuri (calon Parlimen Kemaman)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nik Dir juga berkata, pemilihan Ahmad Samsuri sebagai calon Parlimen Kemaman merupakan pilihan terbaik dari Pas untuk meletakkan individu yang mewakili parti berkenaan bertanding di Parlimen itu.

"Saya berpandangan letak calon Menteri Besar Terengganu merupakan cara terbaik untuk Pas pertahankan kerusi Parlimen Kemaman.

"Bagaimanapun dengan suasana dan isu politik semasa. Insya-ALLAH, kita akan cuba terbaik untuk rampas semula kerusi Parlimen Kemaman dan ia sebagai bukti bahawa Kemaman itu adalah penting bagi UMNO dan BN.

Artikel Berkaitan:

"Apatah lagi Kemaman itu sejak dahulu lagi telah dibangunkan oleh pemimpin UMNO dan BN sehingga menjadi Kemaman sebuah kawasan yang begitu bagus dan selesa," ulasnya.

Ahmad Samsuri bakal dicabar Calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.