Menteri Besar pegang jawatan Ahli Parlimen bukan perkara baharu

Tuan Ibrahim (dua dari kiri) ketika menyampaikan watikah pencalonan kepada Ahmad Samsuri disaksikan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kiri) dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa.

A
A
A

KEMAMAN - Keputusan Pas meletakkan individu yang menjawat jawatan Menteri Besar sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bukan sesuatu yang asing kerana ia menjadi perkara biasa dalam politik negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu bagi membolehkan pemimpin berkenaan memainkan peranan lebih besar.

"Ia bukan perkara baru sebab biasa dalam politik, di Parlimen sekarang pun kita ada tiga orang yang pegang jawatan Menteri Besar, Ketua Menteri dan Ahli Parlimen.

"Kita ketengah Dr Ahmad Samsuri untuk beliau berperanan lebih besar meliputi dari segi pentadbiran negeri, Menteri Besar dan Ahli Parlimen.

"Beliau boleh bawa maklumat secara langsung di peringkat Persekutuan. Dari segi isu pentadbiran juga banyak perkara yang beliau boleh jawab secara langsung dalam Parlimen insya-ALLAH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ceramah Perdana dan Pengisytiharan Calon Pas PRK P040 Parlimen Kemaman di Arena Square di Cukai, di sini malam Khamis.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menyangkal bahawa pemilihan Ahmad Samsuri dibuat kerana Pas ketandusan calon berpengaruh.

Ahmad Samsuri tengah bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris (kanan) dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa ketika hadir pada Program Ceramah Perdana dan Pengisytiharan Calon Pas PRK P040 Parlimen Kemaman di Arena Square di Cukai pada malam Khamis.

Artikel Berkaitan:

"Bila saya umum (Ahmad Samsuri sebagai calon) tadi respons public sangat positif. Bukan soal kita tiada calon, sebab saya sebut tadi kita ada lima calon yang diangkat dan kita menilai calon-calon tersebut.

"Cuma bila kita pilih calon tu atas sebab banyak faktor yang kita ambil kira bukan sahaja peluang untuk menang tetapi peranan besar yang beliau ingin mainkan.

"Saya yakin dengan peranan beliau nanti akan lebih melonjakkan lagi negeri Terengganu, "ujarnya.

Tambahnya lagi, kaji selidik bagi pemilihan calon dijalankan meliputi tiga peringkat iaitu golongan profesional, pertengahan dan rakyat marhaen.

"Dalam kajian itu mereka meletakkan Dr Ahmad Samsuri sebagai pilihan pertama,"katanya.

Sebelum itu, Ahmad Samsuri membuat kejutan apabila dipilih sebagai calon Pas bagi PRK Parlimen Kemaman (P.040).

Pengumuman itu dibuat oleh Tuan Ibrahim di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini.

Sebahagian penyokong yang hadir pada Program Ceramah Perdana dan Pengisytiharan Calon Pas PRK P040 Parlimen Kemaman di Arena Square di Cukai pada malam Khamis.
Sebahagian penyokong yang hadir pada Program Ceramah Perdana dan Pengisytiharan Calon Pas PRK P040 Parlimen Kemaman di Arena Square di Cukai pada malam Khamis.

Ahmad Samsuri bakal dicabar Calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.