BN tidak mampu rampas Kemaman - Sanusi

Sanusi (tengah) pada sidang media di Wisma Darul Aman, di Alor Setar pada Rabu.
Sanusi (tengah) pada sidang media di Wisma Darul Aman, di Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) tidak akan mampu merampas kerusi Parlimen Kemaman meskipun meletakkan calon 'heavyweight' pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 2 Disember ini.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, calon hebat yang diletakkan belum tentu membawa kemenangan kepada BN sekiranya parti tidak mendapat sokongan rakyat.

Beliau berkata, terdapat banyak faktor lain mempengaruhi keputusan pilihan raya selain daripada calon parti.

"Faktor calon ini, 30 peratus saja... dalam pilihan raya, strength (kekuatan) daripada jentera, kempen (dan) brand (jenama) parti.

"Sekarang ini, brand parti itu sedang menjunam. Bawa produk bagus pun. Masuk dalam brand itu. Jebung (habis) juga, sayang lah," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peluang bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang diumumkan sebagai calon BN bagi PRK Kemaman.

Pengerusi PN Kedah itu turut berpandangan, sebagai bekas panglima angkatan tentera, BN bukanlah tempat yang sesuai untuk mencari integriti dan melawan rasuah.

"Jikalau dia terlalu kuat untuk itu, saya alu-alukan lah. Harap dia dapat buat sesuatu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kata beliau, BN kini terpaksa mencari orang luar untuk bertanding berikutan sudah mempunyai calon bersesuaian dalam kepimpinan parti itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berpandangan, matlamat BN mengurangkan majoriti PN pada PRK hanyalah membuang masa.

"Ya... satu undi kalau kalah pun kalah juga. 27,000 (undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bos (BN) nak kampoi (kumpul) selamat maju jaya lah kepada calon tu.

"Matlamat itu tak betul masuk pilihan raya kena menang bukan mengurang majoriti, buat apa? Buang karan buat habis beras orang kata," katanya.

Muhammad Sanusi menyifatkan satu kerugian apabila meletakkan calon heavyweight sekiranya bertanding untuk mengurangkan majoriti sahaja.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sokongan rakyat akan berpihak kepada BN pada kali ini berikutan Kemaman bukanlah kubu kuat PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini, manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu, yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15.