Pencalonan PRK Kemaman tak jejas tugas MB - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KEMAMAN - Calon Pas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap pemilihan beliau untuk bertanding di Parlimen itu tidak akan menjejaskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

Sebaliknya beliau berkata, ia merupakan nilai tambah kepada rakyat dan negeri Terengganu sekiranya menang dalam pilihan raya itu.

"Sudah ada tiga Menteri Besar sebagai (pegang jawatan) Ahli Parlimen dan mereka boleh menjalankan tugas dengan baik hatta negeri-negeri yang dilihat sibuk sekalipun seperti Pulau Pinang dan Selangor masih mampu melaksanakan tugas sebagai ahli Parlimen dan Menteri Besar.

"Sebagai Menteri Besar bukan saja Kemaman, saya boleh membawa isu-isu berkaitan seluruh negeri Terengganu dan tentulah menuntut kepada peranan yang lebih besar untuk membawa manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ceramah Perdana dan Pengisytiharan Calon Pas PRK P040 Parlimen Kemaman di Arena Square di Cukai, di sini malam Khamis.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat (dua dari kanan) menerima replika kunci lori disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa (dua dari kiri) sempena majlis pengumuman calon pada malam Khamis.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat (dua dari kanan) menerima replika kunci lori disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa (dua dari kiri) sempena majlis pengumuman calon pada malam Khamis.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang bakal dicabar Calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada pilihan raya itu.

Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.