PDT Kerian banteras kegiatan ceroboh kolam tadahan Bukit Merah

Operasi penguatkuasaan diketuai PDT Kerian berjaya membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan untuk aktiviti pertanian di kawasan kolam tadahan Bukit Merah, pada Rabu.
Operasi penguatkuasaan diketuai PDT Kerian berjaya membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan untuk aktiviti pertanian di kawasan kolam tadahan Bukit Merah, pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian berjaya membanteras aktiviti pencerobohan di kawasan Simpanan Kolam Tadahan Bukit Merah di Wilayah Pondok Tanjung Hilir, Gunong Semanggol daerah Kerian dalam satu operasi, pada Rabu.

Pegawai Daerah Kerian, Sabli Bakri berkata, operasi tersebut dilaksanakan hasil maklumat awam dan mendapati aktiviti pencerobohan berskala besar dan berisiko tinggi kerana kawasan tersebut merupakan kolam tadahan sumber air bersih untuk kawasan utara Perak.

Menurutnya, pencerobohan itu dipercayai dilakukan beberapa individu yang menjalankan aktiviti pertanian di kawasan seluas 15.37 hektar melibatkan tanaman pisang dan limau.

"Penceroboh didapati mengorek kawasan-kawasan kolam yang cetek tersebut dan menambak kawasan tepian bagi menambah keluasan tanah daratan bagi kegiatan pertanian.

"Sebarang pencerobohan di dalam kawasan tersebut boleh mendatangkan risiko pencemaran kepada kawasan tersebut yang akan menjejaskan bekalan air bersih kepada penduduk di sekitarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

PDT Kerian berjaya membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan untuk aktiviti pertanian di kawasan kolam tadahan Bukit Merah dalam satu operasi penguatkuasaan melibatkan pelbagai agensi, pada Rabu.
PDT Kerian berjaya membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan untuk aktiviti pertanian di kawasan kolam tadahan Bukit Merah dalam satu operasi penguatkuasaan melibatkan pelbagai agensi, pada Rabu.

Sabli berkata, perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara iaitu menjalankan aktiviti membersih, membajak, menggali, mengepungi atau menanami mana-mana tanah sedemikian atau bahagian darinya adalah pendudukan secara tak sah atas tanah kerajaan.

Menurutnya, notis berhubung pencerobohan tanah kerajaan itu telah diletakkan di kawasan tersebut sebelum ini namun ia tidak diendahkan pengusaha di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain tanaman yang diusahakan, terdapat rumah pekerja dan stor dibina di atas tanah tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, operasi berkenaan turut disertai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian, Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian itu melibatkan 78 anggota.

"Tindakan penguatkuasaan ini dijalankan bagi memberi amaran keras terhadap mana-mana individu yang menceroboh tanah kerajaan bahawa perkara seperti ini sentiasa dipantau dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

"Semua pihak perlu bekerjasama untuk memelihara kawasan ini supaya sumber air utama ini tidak berkurangan untuk keperluan pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai kerjasama agensi kerajaan berkaitan membantu memudahkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu.