Kejar dari Ipoh ke Teluk Intan, dua suspek samun berjaya ditahan

Kereta dinaiki suspek disita selepas terbabit dalam kejadian samun sebuah kedai telefon bimbit di Ipoh pada Isnin. - Foto PDRM
Kereta dinaiki suspek disita selepas terbabit dalam kejadian samun sebuah kedai telefon bimbit di Ipoh pada Isnin. - Foto PDRM
A
A
A

TELUK INTAN - Cubaan nekad dua suspek kes samun meloloskan diri dengan dikejar polis lebih 70 kilometer (km) gagal selepas mereka berjaya dicekup di dua lokasi berasingan di Ipoh dan Labu Kubong, Chenderong Balai di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima maklumat berhubung kejadian samun bersenjatakan parang membabitkan kedua-dua lelaki itu sekitar jam 11.30 pagi.

Menurut beliau, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh berjaya mengesan kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki suspek dan mengekorinya hingga ke Kampung Gajah.

"Sampai di Kampung Gajah, suspek berusia 28 dan 31 tahun itu telah menyedari kehadiran pasukan polis bertindak memecut kenderaan hingga ditahan berhampiran sebuah masjid di Labu Kubong.

"Semasa membuat tangkapan, suspek tiba-tiba membuat pusingan U dan mengundur kereta hingga melanggar kenderaan polis. Salah seorang anggota polis turut terseret ketika cuba membuka pintu belakang kenderaan suspek.

"Keadaan itu menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah cermin hadapan kereta suspek untuk mempertahankan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut Ahmad Adnan, seorang suspek yang duduk di bahagian penumpang belakang berjaya dicekup selepas keluar daripada kenderaan itu untuk melarikan diri.

"Suspek yang memandu kereta itu pula dapat melarikan diri, namun berjaya ditangkap semula di sekitar kawasan di Kampung Rapat di Ipoh.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang mengalami luka di bahu kanan akibat terkena tembakan telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan polis menemukan peket disyaki dadah jenis heroin serta peralatan yang digunakan dalam kejadian samun itu.

"Semakan mendapati pemandu kereta itu mempunyai 24 rekod lampau manakala seorang lagi mempunyai 11 rekod lampau dalam jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960," katanya.