Bot berhias Pejabat Daerah Hulu Terengganu, PMINT tambat hati juri

Bot berhias daerah Hulu Terengganu muncul juara bagi kategori pejabat daerah dalam pertandingan bot berhias sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Terengganu. - Foto Ihsan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
Bot berhias daerah Hulu Terengganu muncul juara bagi kategori pejabat daerah dalam pertandingan bot berhias sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Terengganu. - Foto Ihsan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
A
A
A

KUALA NERUS - Keunikan tersendiri ditampilkan bot berhias Pejabat Daerah Hulu Terengganu dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menambat hati juri pertandingan sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Terengganu di sini, malam Jumaat.

Dua bot tersebut yang mewakili kategori pejabat daerah dan badan berkanun serta anak syarikat kerajaan negeri dan Persekutuan itu dinobatkan sebagai juara menewaskan 14 buah bot lain.

Menurut Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Hulu Terengganu, Lukema Meri Salleh@Abdul Latif, mereka mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan bot berhias yang mengetengahkan konsep alam semula jadi.

"Kita membelanjakan hampir RM40,000 untuk menghasilkan bot yang mengetengahkan pelbagai elemen yang ada di daerah Hulu Terengganu antaranya merangkumi produk Geopark, bunga rafflesia, ikan kelah, spesies unik yang terdapat di Tasik Kenyir seperti burung enggan papan atau great hornbills, gajah dan harimau yang melambangkan ekosistem Tasik Kenyir yang masih terpelihara.

"Selain itu, pengisytiharan Kenyir Geopark sebagai Geopark Kebangsaan turut ditonjolkan sebagai ikon utama bagi menggambarkan Hulu Terengganu terkenal dengan kepelbagaian produk dan tarikan alam semula jadi," katanya.

Sebanyak lapan buah bot menyertai pertandingan bagi kategori pejabat daerah iaitu Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Kuala Nerus.

Selain itu, lapan buah bot lagi diwakili Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TI), Syarikat Air Terengganu (Satu) Sdn Bhd, TDM Berhad, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Lukema (tengah) menerima hadiah disampaikan Ahmad Samsuri (dua dari kanan). - Foto Ihsan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
Lukema (tengah) menerima hadiah disampaikan Ahmad Samsuri (dua dari kanan). - Foto Ihsan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)

Artikel Berkaitan:

Acara gilang gemilang yang berlangsung di muara Sungai Terengganu itu dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta diserikan dengan kehadiran ribuan penonton yang teruja menyaksikan pertandingan tersebut.

Pertandingan yang bermula jam 9 malam itu menyaksikan peserta bergerak dari arah Pulau Kambing seterusnya berarak melalui Pulau Warisan, Duyong Marina, Jeti Bot Penambang Seberang Takir menuju ke Jeti Shah Bandar dan Payang Walk.

Sementara itu, Pejabat Daerah Kemaman muncul sebagai naib johan dan tempat ketiga dimenangi Pejabat Daerah Setiu.

Naib johan bagi kategori badan berkanun serta anak syarikat kerajaan negeri dan Persekutuan pula dimenangi Kumpulan PMINT dan tempat ketiga menjadi milik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Pemenang acara pertandingan bot berhias membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta piala (tempat pertama) RM15,000 (kedua) dan RM10,000 (ketiga) bagi setiap kategori.

Acara pada malam itu turut diserikan dengan persembahan montaj multimedia, flyboard LED, pertunjukan bunga api, persembahan kebudayaan Suktra dan selebriti tempatan.