Paip pecah: Jalan FT 1210 Bukit Cherakah dibuka 24 Disember ini

Nur Hafidzan (kiri) bersama-sama Dzulkefly (dua dari kiri) semasa meninjau penutupan Jalan FT 1210 Jalan Bukit Cherakah Puncak Alam pada Sabtu.
Nur Hafidzan (kiri) bersama-sama Dzulkefly (dua dari kiri) semasa meninjau penutupan Jalan FT 1210 Jalan Bukit Cherakah Puncak Alam pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 80,000 pengguna jalan raya yang terkesan selepas penutupan Jalan Persekutuan (FT) 1210 Jalan Bukit Cherakah Puncak Alam di sini boleh menarik nafas lega apabila laluan itu dijangka dibuka semula kepada kenderaan pada 24 Disember depan.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor, Ir Nur Hafidzan Idris berkata, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) selaku pihak bertanggungjawab bagi kerja-kerja baik pulih jalan itu berikutan insiden paip pecah memberi komitmen jalan itu siap mengikut spesifikasi ditetapkan.

Menurut beliau, JKR selaku pihak autoriti utama akan membantu dari segi penyeliaan dan pemantauan bagi memastikan tarikh itu dapat dipatuhi.

"Air Selangor menyatakan bahawa perolehan tersebut telah selesai dan lantikan kontraktor juga telah dibuat bagi kerja baik pulih jalan ini," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama-sama JKR dan Air Selangor meninjau laluan itu yang ditutup kepada pengguna jalan.

Bagaimanapun Nur Hafidzan berkata, pembukaan jalan itu turut bergantung kepada faktor cuaca sepanjang tempoh berkenaan.

Nur Hafidzan (kiri) bersama-sama Dzulkefly (dua dari kiri) dan agensi berkaitan melihat keadaan jalan yang mengalami kejadian paip pecah hingga berlaku pemendapan.
Nur Hafidzan (kiri) bersama-sama Dzulkefly (dua dari kiri) dan agensi berkaitan melihat keadaan jalan yang mengalami kejadian paip pecah hingga berlaku pemendapan.

"Pihak kontraktor yang dilantik Air Selangor diharap dapat merancang jadual dengan baik bagi kerja baik pulih jalan ini terutama dalam dalam menghadapi Monsun Timur Laut," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nur Hafidzan memberitahu, kebocoran paip bersaiz 2,200 milimeter (mm) di laluan itu membabitkan jajaran berkeluasan 25 hingga 30 meter.

Katanya, berikutan insiden itu, laluan sepanjang 870 meter terpaksa ditutup kepada kenderaan dan terpaksa dilencongkan ke laluan Eco Grandeur sejak Mei lalu.

"Isu ini sudah lama dan ia bermula dengan paip pecah yang menyebabkan laluan ini mendap dan tidak lagi selamat digunakan.

"Air Selangor telah melaksanakan kerja-kerja penggalian sedalam 10 meter untuk menentukan tahap kerosakan dan telah mengesan terdapat paip pecah," ujar beliau.

Nur Hafidzan memberitahu, sepanjang tempoh itu, sebanyak tiga kali kejadian paip pecah termasuk kejadian pertama pada Mei lalu.

"Kerja pembaikan kali pertama telah dibuat, namun kejadian paip pecah berulang tetapi di lokasi lain dan pembaikan dibuat pada Julai dan September.

"Air Selangor menyatakan kerja ini bukan penyelenggaraan, sebaliknya diklasifikasikan kerja pembaikan menyeluruh dan baharu yang mengambil masa bagi kerja perolehan dan pelantikan kontraktor," jelas beliau.

Dzulkefly (kiri) bertanya sesuatu kepada Nur Hafidzan (kanan) semasa meninjau keadaan penutupan jalan berkenaan.
Dzulkefly (kiri) bertanya sesuatu kepada Nur Hafidzan (kanan) semasa meninjau keadaan penutupan jalan berkenaan.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, pihak bertanggungjawab sedaya upaya menyelesaikan masalah itu segera.

Beliau berkata, terdapat tiga kejadian paip pecah berlaku di laluan sama lebih-lebih lagi melibatkan paip air bersaiz besar.

"Kita berharap penduduk dapat memahami kenapa penutupan jalan ini berlaku dan ia memerlukan masa untuk dibaik pulih.

"Saya percaya segala kerumitan dan kesulitan ini berakhir tidak lama lagi dan penduduk juga mendapat manfaat selepas kerja ini siap sepenuhnya," tambahnya.