Suspek terlibat kes pecah rumah di Taman Bukit Kaya ditahan

Antara barang yang dirampas daripada suspek.
Antara barang yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

SEREMBAN - Polis menahan seorang lelaki di Kepong, Kuala Lumpur selepas dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di Taman Bukit Kaya di sini pada 2 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan pada Ahad oleh sepasukan polis dari cawangan D4, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seremban.

"Ia susulan laporan polis yang kita terima pada 2 Julai lalu berkenaan sebuah rumah di taman itu dipecah masuk dan barangan berharga serta wang tunai dicuri dengan anggaran kerugian RM3,000.

"Polis merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Vios serta pelbagai jenis mata wang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, hasil semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 13 rekod jenayah pecah rumah dan satu rekod dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Dengan tangkapan ini pihak polis percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah di daerah Seremban.

"Suspek kini direman selama lima hari sehingga Jumaat ini. Sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat IPD Seremban, Asisten Superintenden Husairin Che Hussin di talian 012-9654927," katanya.