Tambah lorong Jalan Bukit Cherakah elak kesesakan, kemalangan

Jalan Persekutuan (FT) 1210 Jalan Bukit Cherakah Puncak Alam, di sini dinaik taraf bagi menambah bilangan lorong bagi mengurangkan masalah kesesakan dan kemalangan jalan raya.
Jalan Persekutuan (FT) 1210 Jalan Bukit Cherakah Puncak Alam, di sini dinaik taraf bagi menambah bilangan lorong bagi mengurangkan masalah kesesakan dan kemalangan jalan raya.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Tiga syarikat pemaju perumahan bersetuju menaik taraf dan menambah bilangan lorong di Jalan Persekutuan (FT) 1210 Jalan Bukit Cherakah Puncak Alam, di sini bagi mengurangkan masalah kesesakan dan kemalangan jalan raya.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor, Ir Nur Hafidzan Idris berkata, projek pelebaran dan penambahan lorong daripada dua kepada tiga lorong sehala itu dijangka siap pada tahun 2025.

Menurutnya, projek menaik taraf itu membabitkan pelebaran jalan sepanjang 3.4 kilometer dari Simpang Desa Coalfields hingga ke Jalan Bukit Cherakah.

"Ini termasuklah menaik taraf jambatan sedia ada dengan menjadikan kedua-dua laluan bertentangan daripada empat lorong kepada enam lorong keseluruhannya," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurut Nur Hafidzan, laluan yang secara puratanya menerima 80,000 kenderaan sehari itu sesak terutama pada waktu puncak berikutan faktor pembangunan projek perumahan di kawasan sekitar.

"Beberapa persimpangan lampu isyarat di laluan perumahan laluan utama ini juga akan ditutup dan penduduk perlu membuat pusingan U bagi melancarkan lagi pergerakan trafik di jalan ini," kata beliau.

Jelas beliau, projek menaik taraf itu membabitkan syarikat perumahan LBS Bina Group Berhad (LBS), Worldwide dan ECO World Development Group Bhd (Eco World Malaysia).

Dalam pada itu, katanya, pada masa ini, Jalan Bukit Cherakah telah ditinggikan kepada satu meter bagi mengelakkan banjir

Artikel Berkaitan:

"Laluan ini sudah ditinggikan dan jika dulunya kerap banjir, kita yakin laluan ini tidak dilimpahi air dengan projek peninggian jalan tersebut," tambahnya.

Ditanya mengenai memorandum penduduk yang membantah pembinaan jalan utama menggantikan Jalan 1 Kampung Felda Bukit Cherakah, Nur Hafidzan berkata, laluan jalan sedia ada itu hak milik persendirian.

Menurut beliau, pihaknya ada menerima aduan daripada Pertubuhan Gerakan Generasi Kedua kampung itu yang tidak berpuas hati berikutan cadangan penutupan jalan berkenaan.

"Selepas semakan dibuat di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor mendapati jalan itu berada dalam kawasan persendirian dan milik individu," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, penduduk dinasihatkan merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa tanah bagi menyelesaikan jajaran berkenaan.

Mengulas mengenai kemungkinan terdapat pembukaan jalan baharu di selekoh dan kaki bukit yang curam seperti dakwaan penduduk, Nur Hafidzan memberitahu, JKR tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak mengenai pembukaan jalan alternatif terbabit.

"Pilihan masa ini semasa perjumpaan dengan pemilik tanah kita hanya membenarkan penutupan di kawasan milik persendirian sahaja dan bukan menutup keseluruhan kawasan," jelas beliau.