Kutip besi buruk, jual makanan ringan bantu ibu bapa

Muhammad Zulhilmi terpilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Tajaan Industri sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan Ke-13, 4 Oktober lalu.
Muhammad Zulhilmi terpilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Tajaan Industri sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan Ke-13, 4 Oktober lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Melihat kegigihan dan kepayahan ibu bapa bekerja di bawah panas terik dan cuaca tidak menentu untuk menyara keluarga membuatkan Muhammad Zulhilmi Sidek, 24, nekad belajar bersungguh-sungguh sambil mencari wang sendiri sejak sekolah rendah.

Berkongsi usaha yang dilakukan untuk membantu ibu bapanya, Muhammad Zulhilmi memberitahu, dia mula menjual makanan ringan ketika Darjah Empat sebelum mengutip besi buruk dan menjual telefon terpakai secara dalam talian semasa belajar di sekolah menengah.

Walaupun mula mencari wang semasa di bangku sekolah, namun dia tetap gigih belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya ke menara gading.

Kesungguhannya ternyata berbaloi apabila anak ketiga daripada lima beradik itu terpilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Tajaan Industri sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan Ke-13, 4 Oktober lalu.

"Saya berusaha untuk membantu ibu bapa dengan mencari wang sendiri walaupun masih belajar," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ceritanya lagi, ibu, Sulaini Musa, 59, dan bapanya, Sidek Mohammad, 74, pernah bekerja sebagai tukang kebun di sekolah rendah tempat mereka lima beradik belajar sebelum bapanya berhenti kerja akibat asma.


Muhammad Zulhilmi bersama kedua ibu bapa yang banyak memberi semangat untuk belajar.
Muhammad Zulhilmi bersama kedua ibu bapa yang banyak memberi semangat untuk belajar.

Menurut Graduan Ijazah Sarjana Muda Senibina Dalaman, Fakulti Senibina dan Ekistik (FSE), selepas itu bapanya tidak dapat melakukan kerja-kerja berat dan mereka hanya bergantung kepada ibu sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat sendiri bagaimana sukarnya ayah dan ibu bekerja mencari wang untuk membiayai kami adik-beradik.

"Itu semua menjadi semangat untuk membahagiakan mereka," katanya.

Kini Muhammad Zulhilmi boleh berbangga kerana sudah mempunyai syarikat sendiri yang menjual jubah lelaki premium.

Walaupun masih menyambung pengajian ketika itu, pemuda ini gigih menghasilkan jubah dengan pembelian kain secara borong, mencari tukang jahit, mengambil pesanan pelanggan dan mereka cipta kotak bungkusan sendiri.

"Menyedari tidak mudah untuk berjaya, saya menyertai banyak program dan pertandingan keusahawanan yang dianjurkan di peringkat universiti dan industri.


Muhammad Zulhilmi (dua dari kiri) menerima Anugerah Pelajar Kreatif Arkitek Mohd Asri tajaan dari Masa Arkitek.
Muhammad Zulhilmi (dua dari kiri) menerima Anugerah Pelajar Kreatif Arkitek Mohd Asri tajaan dari Masa Arkitek.

"Saya terpaksa membahagikan masa untuk belajar dan berniaga kerana seni bina juga antara subjek sukar dan memerlukan kesungguhan," katanya.

Bagaimanapun, perhatian yang diberikan dan bijak mengurus menjadikan Muhammad Zulhilmi berada antara tempat teratas pelajar terbaik di universiti.

Penerima Anugerah Pelajar Kreatif Arkitek Mohd Asri iaitu tajaan dari Masa Arkitek itu juga kini sedang berusaha untuk mengumpul modal membesarkan perniagaannya.