Kes buli MCKK: KPM sedia bertemu ibu bapa mangsa

Hui Ying merasmikan Anjung Ketipang Payung di Sekolah Kebangsaan Tan Sri P Ramlee pada Rabu.
Hui Ying merasmikan Anjung Ketipang Payung di Sekolah Kebangsaan Tan Sri P Ramlee pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia untuk bertemu dengan ibu bapa atau waris kepada pelajar yang dikatakan menjadi mangsa buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, KPM memahami perasaan ibu bapa mangsa dan terbuka untuk bertemu bagi membincangkan isu tersebut pada bila-bila masa.

"Kes tersebut memang di dalam pengetahuan KPM yang mana, kes ini sedang dalam siasatan pihak polis. Kita telah mengambil tindakan sewajarnya dan yang sepatutnya diambil.

"Bagaimanapun, kita faham perasaan ibu bapa mangsa. Jika mereka nak jumpa, kita mengalu-alukan. Tiada masalah.

"Saya nak tekankan di sini, KPM tidak akan menyebelahi mana-mana pihak. Kita melayani semua orang sama rata, adil. Bagi KPM, semua murid atau pelajar adalah sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anjung Ketipang Payung di Sekolah Kebangsaan Tan Sri P Ramlee di sini pada Rabu.

Tambah beliau, kementerian tidak akan berkompromi dalam kes buli di semua institusi pendidikan di bawah KPM.

"KPM telah mengeluarkan dua Surat Pekeliling Iktisas (SPI) berkenaan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli dan Salah Laku Seksual di institusi pendidikan sebagai rujukan kepada semua pegawai di bahagian KPM, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi pendidikan bawah KPM.

"Ia sebagai rujukan untuk kes buli dan gangguan seksual di sekolah. Kes-kes ini memang kita memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular di laman Instagram pada Jumaat yang memaparkan seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.

Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Bagaimanapun, pada 4 November lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di sini.

Laporan kejadian itu diterima pada 24 September lalu melibatkan tiga mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Empat.

Dalam perkembangan lain, polis sedang menyiasat kes guru lelaki yang didakwa menunjukkan kemaluannya kepada seorang pelajar di sebuah sekolah di Balik Pulau baru-baru ini.

Hui Ying berkata, kes tersebut dalam pengetahuan KPM dan ia diklasifikasikan sebagai kes gangguan seksual di sekolah.

"Kes dalam siasatan polis, saya tidak ada maklumat lanjut mengenainya.

"Mengenai ada penahanan tetapi saya tidak tahu lanjut mengenainya," katanya.