Jangan kecam ibu bapa tertinggal anak dalam kereta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEJADIAN seorang bayi perempuan berusia lapan bulan maut akibat tertinggal hampir 10 jam di dalam kereta ibunya di kawasan parkir sebuah hospital di ibu negara baru-baru ini sangat menyentuh hati.

Terbaharu, berlaku lagi kisah yang sama. Kali ini seorang bapa terlupa menghantar bayi perempuannya berusia 16 bulan ke pusat asuhan dalam kejadian di sebuah institut pengajian tinggi di Kuala Nerus, Terengganu.

Sindrom terlupa anak bukan kejadian pertama kali berlaku di Malaysia, malah kerap dilaporkan. Ia tetap berulang dan tidak mustahil boleh berlaku lagi pada masa akan datang.

Kejadian yang berlaku tanpa sengaja itu bukan melibatkan isu kecuaian semata-mata kerana boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira pekerjaan atau keadaan.

Ibu terutamanya selalu multitasking. Jasad sahaja sedang memandu kereta tetapi otak sedang berfikir berpuluh perkara dan senarai kerja sehingga boleh mengundang kejadian tidak diingini.

Bagi mengelak kejadian terlupa anak, ibu bapa dan peranan pihak pengasuh atau taska amat penting.

Satu jam atau dua jam selepas waktu kebiasaan ibu bapa menghantar anak, cubalah periksa siapa yang hadir atau belum sampai.

Mungkin dengan sikap proaktif itu pihak taska dan pengasuh dapat menyelamatkan satu nyawa yang sangat berharga.

Artikel Berkaitan:

Suami isteri perlu saling berhubung bertanyakan tentang anak, selain terdapat juga beberapa cadangan sebelum ini seperti tinggalkan barang berharga di tempat duduk anak, tetapkan penggera di telefon bimbit dan minta pengawal keselamatan sentiasa meronda di kawasan parkir kenderaan.

Namun, yang paling mudah dilakukan adalah jadikan kebiasaan memeriksa tempat duduk di hadapan dan belakang sebelum meninggalkan kenderaan.

Realitinya, tidak ada ibu bapa yang tidak sayangkan anak atau sengaja meninggalkan permata hati kepanasan di dalam kereta berjam-jam lamanya.

Dalam kesedihan hilang anak, sudah pasti ada rasa bersalah dan penyesalan.

Usah ditambah lagi rasa tersebut dengan pelbagai kata nista, kecaman dan melabel ibu bapa. Hadirkan sedikit rasa empati.

Janganlah terlalu mendabik dada mengatakan kitalah ibu bapa paling ‘alert’ dan tidak cuai kerana siapa tahu suatu hari nanti kita pula yang diuji.

Tragedi ini perlu diambil iktibar. Kesedaran perlu sentiasa diwujudkan dalam masyarakat supaya semua ibu bapa mengambil pengajaran daripada insiden yang berlaku.