Suri rumah carum SKSSR sukarela masih rendah

Sivakumar (kiri) melawat reruai pameran pada Program Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Mydin Mall, Tunjong, Kota Bharu hari ini. - Foto Bernama
Sivakumar (kiri) melawat reruai pameran pada Program Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Mydin Mall, Tunjong, Kota Bharu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Penglibatan suri rumah yang membuat caruman melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) secara sukarela masih lagi rendah.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, sejak setahun diperkenalkan pada 2022 hingga kini, seramai 197,000 suri rumah menjadi pencarum skim berkenaan.

Menurut beliau, jumlah itu bagaimanapun merangkumi 166,666 suri rumah daripada keluarga B40 di bawah e-Kasih dengan bayaran caruman dibiayai kerajaan.

“Selebihnya kira-kira 30,000 sahaja permohonan caruman sukarela dan masih ramai yang tidak tahu tentang faedah ini sedangkan mereka layak mencarum bermula usia 15 hingga 50 tahun selain wanita belum berkahwin juga boleh mencarum.

“Inisiatif perlu diambil untuk menaikkan jumlah pencarum secara sukarela.

"Dalam skim ini, sesiapa pun boleh membayar caruman untuk suri rumah seperti suami kepada isteri atau anak-anak membayar caruman ibu serendah RM10,” katanya pada sidang akhbar semasa Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Negeri Kelantan di Mydin Mall Tunjong di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, justeru, pihaknya melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat untuk merancakkan program bagi mempromosikan SKSSR supaya dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pencarum.

Katanya, banyak kelebihan akan diperolehi golongan wanita, sama ada suri rumah sepenuh masa atau separuh masa jika berdaftar di bawah skim berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Skim ini akan memberi perlindungan daripada bencana domestik dan keilatan, contohnya faedah yang ditawarkan termasuklah perubatan atau hilang upaya kekal.

“Bermaksud, mereka dilindungi jika kemalangan atau apa-apa malapetaka berlaku dalam dan luar rumah termasuk waktu menghantar anak ke sekolah,” kata beliau.

Tambahnya, ada cadangan supaya had umur layak mencarum SKSSR dilanjutkan ke 60 tahun, namun perkara itu memerlukan kajian terperinci termasuk bagi memastikan liabiliti atau tanggungan kerajaan tidak terlalu tinggi.