'Tak sia-sia carum SKSSR untuk isteri'

Hee Sam (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Skuad Prihatin PERKESO kepada Kogilavani (empat dari kiri) di Kampung Rim pada Khamis.
Hee Sam (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Skuad Prihatin PERKESO kepada Kogilavani (empat dari kiri) di Kampung Rim pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Seorang bapa dua anak tidak menyesal mencarumkan isterinya di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pada Disember tahun lalu, selepas wanita itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik.

N Devadasan, 55, yang bekerja sendiri berkata, dia mengambil peluang memanfaatkan skim berkenaan yang diperoleh maklumat hanya melalui media sosial, TikTok.

Menurut Devadasan, dia mengambil keputusan untuk mencarum dengan kadar bayaran RM120 setahun bagi memastikan isterinya, T Kogilavani, 51, yang tidak bekerja mendapat perlindungan sebaik mungkin.

"Namun siapa sangka beberapa bulan selepas mencarum, isteri disahkan menghidap masalah buah pinggang tahap lima dan perlu menjalani dialisis.

"Dengan adanya caruman ini dapatlah isteri menerima elaun faedah keuzuran sebanyak RM300 dan rawatan dialisis RM200 di bawah skim tersebut," katanya.

Devadasan ditemui media selepas menerima sumbangan Skuad Prihatin PERKESO yang disampaikan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Ngwe Hee Sam di rumahnya di Kampung Rim di sini pada Khamis.

Tambah Devadasan, bantuan itu sememangnya membantu meringankan beban serta kos rawatan isteri, memandangkan dia masih perlu menanggung dua anak yang masih belajar selain menyara ibu sudah tua.

Jelas Devadasan, isterinya diduga dengan masalah kesihatan selepas mengalami bengkak kedua-dua kaki pada Mac lalu, sebelum dibawa mendapatkan rawatan di sebuah klinik Swasta di Bandar Jasin.

"Hasil ujian darah mengesahkan isteri saya mempunyai masalah buah pinggang dan dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

"Saya harap lebih ramai lelaki peka dengan skim ini dan merebut peluang mencarum untuk isteri tersayang ataupun anak perempuan mereka," katanya.