Jadi along kepada rakan-rakan, suri rumah didenda

No Image Caption
A
A
A

TAMPIN - Seorang suri rumah didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen yang sah dengan mengenakan bunga antara 10 hingga 15 peratus.

Tertuduh S Rajaswari, 56, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Mahkamah turut menetapkan 10 bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah membantu pemberi pinjaman wang tidak berlesen dalam kalangan rakan-rakannya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Taman Gunung Mas,Tampin jam 12.01 pagi, pada 13 Januari lepas.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan penjara tidak lebih dua tahun atau dengan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hasil siasatan mendapati saspek telah menjalankan kegiatan tersebut dari tahun lalu dan memberi pinjaman dengan mengenakan bunga sekitar 10 hingga 15 peratus.