Penyingkiran Hamzah boleh lemahkan pembangkang - Penganalisis

SHAH ALAM – Pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin berisiko melemahkan keseluruhan ekosistem pembangkang, bukan sekadar Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, siasatan Lembaga Displin terhadap Hamzah berhubung kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) akan menjadi ujian paling kritikal terhadap kestabilan dan hala tuju kepimpinan Bersatu ketika ini.
Beliau berpandangan, Hamzah berdepan risiko tindakan yang berat sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran disiplin parti atau unsur yang boleh ditafsirkan sebagai mencabar kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dalam mana-mana parti politik, kekecohan perhimpunan dan serangan terbuka terhadap presiden adalah perkara serius. Jika dibuktikan, tindakan tegas termasuk pemecatan bukan sesuatu yang luar biasa.
“Bagaimanapun, tindakan pemecatan tersebut turut membawa risiko besar kepada Bersatu sendiri, khususnya dari sudut perpecahan dalaman dan kehilangan sokongan akar umbi,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohamad Hafis, memandangkan Hamzah merupakan antara tokoh utama yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam parti dan PN, khususnya Pas, justeru sebarang tindakan drastik boleh mencetuskan ketidakstabilan berpanjangan antara parti komponen di dalam PN.
“Pemecatan bukan sahaja menjejaskan Bersatu, malah berpotensi melemahkan PN secara keseluruhan dan merencatkan peranan pembangkang di Parlimen serta PRU akan datang.
“Kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen turut menjadikan isu ini lebih sensitif kerana sebarang perubahan mendadak akan memberi kelebihan politik kepada Kerajaan Madani,” ujarnya lagi.
Beliau turut melihat, sekiranya pemecatan Hamzah berlaku, Bersatu akan berdepan risiko konflik dalaman terbuka, kemerosotan moral ahli serta kegagalan mengekalkan fokus terhadap isu rakyat untuk PRU16 nanti.
Tambahnya, pembangkang akan dilihat bergelut dengan masalah dalaman sendiri, sekali gus menjejaskan keyakinan pengundi terhadap keupayaan PN sebagai alternatif kerajaan.
Ringkasan AI
- Pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin berisiko melemahkan ekosistem pembangkang, bukan sekadar Bersatu dan Perikatan Nasional
- Siasatan terhadap Hamzah berhubung kekecohan di Perhimpunan Agung Tahunan bersifat kritikal terhadap stabiliti kepimpinan Bersatu
- Risiko tindakan berat ke atas Hamzah jika terbukti melanggar disiplin parti atau mencabar kepimpinan Muhyiddin Yassin
- Pemecatan Hamzah boleh mencetuskan konflik dalam Bersatu dan kehilangan sokongan akar umbi
- Pemecatan tersebut juga berpotensi menyebabkan ketidakstabilan dalam Perikatan Nasional dan mempengaruhi peranan pembangkang di Parlimen serta pilihan raya akan datang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

