Cuaca, mesin jentuai kurang punca hasil padi Tanjong Karang merosot

A
A
A

KUALA SELANGOR - Pesawah di Tanjong Karang mengalami kemerosotan hasil pengeluaran padi musim ini antara lima hingga 10 peratus berikutan faktor cuaca dan kekurangan mesin jentuai.

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Dr Abdul Razak Khasbullah berkata, dua permasalahan itu diutarakan pesawah semasa lawatannya bagi meninjau kerja-kerja penuaian padi di Tanjong Karang.

"Dalam keadaan cuaca tidak menentu lebih-lebih lagi hujan dan ribut menyebabkan pokok padi yang sudah masak tumbang.

"Lebih merisaukan pesawah apabila mesin jentuai tidak mencukupi hingga berlaku kelewatan pemotongan sekali gus menjejaskan hasil pengeluaran padi," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas melawat tanaman padi di Parit 3 Ban 3, Sungai Burong di sini pada Jumaat.

Abdul Razak berkata, pada masa ini terdapat 25 mesin jentuai milik Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), namun masih tidak mencukupi menampung keluasan kawasan sawah padi kira-kira 5,000 hektar di Tanjong Karang.

Katanya, sebanyak 12 mesin jentuai melaksanakan kerja-kerja penuaian di kawasan penanaman padi di Sungai Burong, manakala 10 lagi mesin di Sawah Sempadan.

"Walaupun ada 25 mesin jentuai di sini, tetapi kapasiti sedia ada tidak mencukupi malah ia perlu diselia dan diselenggara dengan baik bagi mengelakkannya rosak dan tidak dapat digunakan apabila tiba musim menuai," kata beliau.

Abdul Razak memberitahu, masalah kekurangan mesin jentuai bukan sahaja dihadapi pesawah di Tanjong Karang, tetapi di kebanyakan kawasan jelapang padi lain di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Isu kekurangan mesin jentuai sering dibangkitkan pesawah seluruh negara dan jika tidak ditangani dibimbangi boleh menjejaskan pengeluaran beras negara," kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, beliau merayu kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menambah peruntukan bagi membeli mesin jentuai baharu di kawasan kritikal.

"Saya akan bawa isu ini kepada pihak kementerian dan berharap ia dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi pesawah," tambahnya.