PRN: Pengundi muda dijangka meningkat hingga 15 peratus - BN

Mohamad Sahfri ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Mohamad Sahfri ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengundi muda dijangka meningkat 10 hingga 15 peratus di setiap kawasan terlibat pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata, faktor menyebabkan peningkatan jumlah itu termasuk pendaftaran baharu pengundi berusia 18 tahun serta individu yang menukar tempat mengundi mereka.

Menurutnya, jumlah berkenaan berdasarkan statistik daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemas kini sehingga Jun lepas.

"Saya dimaklumkan bahawa pertambahan pengundi ini agak ketara berlaku terutama melibatkan anak-anak muda.

"Ini secara tidak langsung akan berlakunya penambahan PDM dan saluran (mengundi).

"Jadi kita perlu mengatur 'gerak geri' atau memantapkan strategi di peringkat parti supaya dapat menarik undi golongan muda ketika PRN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Taklimat War Room UMNO Pusat kepada War Room Negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamad Sahfri berkata, pihaknya sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRN yang diadakan tidak lama lagi.

"Secara asasnya saya lihat jentera berada pada tahap sangat tinggi di enam negeri ini.

"Kita melihat kehadiran dan juga sesi soal jawab tadi bahawa jentera-jentera di peringkat DUN di Terengganu begitu bersedia dan banyak persiapan-persiapan awal telah dibuat untuk hadapi PRN nanti," ujarnya.

Hari pengundian bagi PRN enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan manakala penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai ini.

PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.