Pembiayaan hingga 120 peratus bantu rakyat miliki rumah pertama

Anwar (tengah) merasmikan Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar (tengah) merasmikan Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prihatin dengan keluh kesah rakyat yang tidak dapat menyediakan deposit bagi memiliki rumah pertama, Kerajaan Perpaduan hari ini mengumumkan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus dari harga rumah bernilai sehingga RM300,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus itu yang akan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman.

"Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabot dan kos ubah suai,” kata beliau semasa mengumumkan inisiatif ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ di sini pada Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, berikutan penambahbaikan SJKP berkenaan, jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion akan disediakan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan sedang mengusahakan Pelan Tindakan Perumahan Negara yang antaranya merangkumi keperluan bekalan rumah berpandukan metrik seperti catuan harga rumah median untuk pendapatan median.

Anwar berkata, penyediaan perumahan awam juga diteruskan di samping merancakkan pasaran sewa sebagai usaha memenuhi keperluan perumahan.

Menerusi Ekonomi Madani itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan berikrar memastikan semua rakyat menikmati akses yang universal daripada segi infrastruktur asas sama ada bekalan air atau elektrik.

"Rakyat di kawasan desa wajar mempunyai perkhidmatan asas bertaraf dunia. Setakat 2022, 97 peratus penduduk Malaysia mempunyai akses kepada bekalan air terawat,” kata beliau.

Bagi menangani isu bekalan air di Kelantan dan Sabah, Anwar mengumumkan tambahan keseluruhan RM800 juta bagi penyelesaian jangka pendek untuk kedua-dua negeri itu.

"Kerajaan juga akan menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir seperti di Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor demi melindungi masyarakat setempat daripada ditimpa bencana banjir,” kata Perdana Menteri.

Mengenai usaha menambah baik jaringan kesalinghubungan udara, Anwar berkata pelaksanaan Projek Mass Rapid Transit (MRT3) di Lembah Klang akan diteruskan setelah kerajaan memastikan kos yang munasabah selain melaksanakan Bas Rapid Tranport di Johor Bharu, Johor dan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.

"Pengurusan pengangkutan awam darat disatukan supaya semua aset dapat dioptimumkan dengan menumpukan usaha membina rangkaian pengangkutan awam antara bandar dan dalam bandar serta menambah baik isu jaringan terakhir melalui kaedah cekap kos termasuk bas elektrik,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Bantuan khas RM300 kepada penjawat awam, RM200 pesara

Malaysia sasar di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033

Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada rakyat

Kerajaan, GLIC labur RM1 bilion dana tambahan sokong syarikat pemula tempatan

Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat angkat dua tumpuan utama

Ekonomi Madani tetapkan tujuh penanda aras - PM