Syarikat, pemandu tolonglah patuh undang-undang

Tidak semua pemandu ingkar peraturan, namun apa yang boleh dipersoalkan di sini ialah sikap segelintir mereka yang masih ‘kepala batu’. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Tidak semua pemandu ingkar peraturan, namun apa yang boleh dipersoalkan di sini ialah sikap segelintir mereka yang masih ‘kepala batu’. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

PIHAK syarikat, pemilik dan pemandu kenderaan komersial diharap patuh akan peraturan undang-undang keselamatan yang ditetapkan bagi memastikan ekosistem jalan raya sentiasa selamat kepada pengguna yang lain.

Ini kerana pemerhatian dan analisis awal data hasil pemeriksaan dan audit yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh 30 hari Ops Patuh Khas 2023 bermula 1 Oktober didapati trend kesedaran dan pematuhan pemandu berada pada tahap yang masih rendah.

Perkara ini adalah sangat menyedihkan dan membimbangkan.

Tidak semua pemandu kenderaan komersial atau perdagangan ingkar peraturan, namun apa yang boleh dipersoalkan di sini ialah sikap segelintir mereka yang masih ‘kepala batu’.

Bukan apa, ada yang masih degil kerana bawa lebih muatan, tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta pelbagai kesalahan teknikal.

Ops Patuh Khas Kenderaan Komersial yang dilaksanakan JPJ ini perlu disokong penuh dengan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan segelintir pemandu lori yang melakukan kesalahan-kesalahan remeh seperti tidak tutup muatan, kayu penyendal diletak sambil lewa dan tayar botak hingga menampakkan dawai.

Perlu diingat, biar pun kesalahan dilihat kecil, ia berisiko mengundang kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan statistik yang direkodkan JPJ dalam 30 hari operasi terbabit, sebanyak 73,296 saman dikeluarkan kepada pihak syarikat, pemilik dan pemandu di atas pelbagai kesalahan.

Daripada jumlah itu, terdapat 4,515 (enam peratus) kesalahan lebih muatan, 19,905 (27 peratus) kesalahan teknikal, 11,813 (16 peratus) tiada lesen memandu yang sah, 6,085 (lapan peratus) tiada lesen vokasional dan selebihnya lain-lain kesalahan.

Tabik hormat tindakan tegas JPJ yang turut bertindak menyita sebanyak 705 buah kenderaan, di mana 16 buah daripadanya melibatkan kesalahan lebih muatan yang ekstrem.

Apa pun, cabaran pelaksanaan bukan sekadar operasi semata, JPJ juga berdepan gangguan tonto selain desakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan operasi yang dilakukan.

Konsepnya mudah, jika patuh arahan sudah tentu tiada tindakan dikenakan.