Mustahil Najib ikut jejak Tun M jadi PM dua kali

Najib masih mempunyai baki satu tahun untuk kembali menjadi Perdana Menteri.
Najib masih mempunyai baki satu tahun untuk kembali menjadi Perdana Menteri.
A
A
A

PEMBENTANGAN Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, menandakan satu titik perubahan besar landskap politik negara.

Selepas diluluskan di Parlimen, Malaysia bakal melakar sejarah baharu memperkukuh reformasi institusi dan mengekang pemusatan kuasa dalam tempoh lama.

RUU itu memberi masa hanya 10 tahun kepada mana-mana individu di negara ini untuk bergelar sebagai Perdana Menteri, sama ada berkhidmat secara berterusan atau terpisah.

Peruntukan sama turut terpakai kepada semua bekas Perdana Menteri kerana ia dikira secara retrospektif atau ke belakang.

Ketika ini terdapat empat bekas Perdana Menteri yang masih aktif iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dr Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali sebelum ini akan hilang kelayakan kerana beliau telah berkhidmat lebih 10 tahun.

Najib masih mempunyai baki satu tahun manakala Muhyiddin dan Ismail Sabri masing-masing lapan tahun.

Meskipun Najib masih layak namun seakan mustahil akan dipilih menggalas jawatan utama negara hanya untuk setahun perkhidmatan.

Berdasarkan perkembangan politik semasa, peluang Muhyiddin dan Ismail Sabri untuk kembali dilihat sangat tipis, namun tidak mustahil boleh berlaku di masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian, dalam konteks politik baharu yang berasaskan had masa, sejarah ‘PM dua kali’ yang dipegang Dr Mahathir mungkin tidak akan berulang.

Tambahan pula, Perdana Menteri yang memiliki sokongan majoriti lazimnya meneruskan pemerintahan untuk penggal berikutnya.

Contohnya, Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti, maka sudah pasti beliau kekal menerajui negara hingga tamat had masa tersebut.

Justeru, semangat reformasi institusi ini wajar diperluaskan ke jawatan utama lain termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Had penggal 10 tahun akan membuka ruang kepada pemimpin baharu tampil dengan idea segar tanpa didominasi muka lama yang sudah berusia.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!