'Tonto masih berleluasa, ganggu tindakan penguatkuasaan JPJ'

Antara kenderaan yang diguna tonto bagi mengekori operasi yang dijalankan JPJ. Gambar kanan: JPJ menjalankan pemeriksaan ke atas tonto yang ditahan semasa operasi penguatkuasaan.
Antara kenderaan yang diguna tonto bagi mengekori operasi yang dijalankan JPJ. Gambar kanan: JPJ menjalankan pemeriksaan ke atas tonto yang ditahan semasa operasi penguatkuasaan.
A
A
A

KLANG - Kegiatan tonto yang diupah bagi melindungi pesalah kenderaan perdagangan dan barangan di jalan raya dikesan masih berleluasa dan terus mengganggu penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pembabitan tonto dikesan sangat aktif ketika tindakan penguatkuasaan seperti Op Patuh Khas dilaksanakan.

Lokman (tengah) ketika ditemui pemberita semasa Op Patuh Khas di Stesen Penguat kuasa Banting, pada Jumaat.
Lokman (tengah) ketika ditemui pemberita semasa Op Patuh Khas di Stesen Penguat kuasa Banting, pada Jumaat.

Menurutnya, kegiatan tonto itu bagi menghalang tugas JPJ dalam mengambil tindakan ke atas kenderaan perdagangan yang melanggar peraturan jalan raya.

"Tonto ini tidak berani melakukan ancaman tetapi mereka akan mengekori, mendekati dan memerhati kenderaan JPJ seolah-olah menghalang tugas penguatkuasaan.

"Namun kami (JPJ) mempunyai pasukan khas yang terlatih bagi menjalankan risikan sekurang-kurangnya seminggu sebelum operasi dilakukan selain menukar taktik dan kenderaan digunakan serta pegawai pasukan risikan bagi mengelak dikesan tonto," katanya ketika ditemui pemberita selepas Op Patuh Khas di Stesen Penguat kuasa Banting di sini pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Penguatkuasa) JPJ, Dr Azmi Awang.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, kumpulan tonto ini terdiri di kalangan warga tempatan dengan menerima bayaran tertentu daripada syarikat pengendali kenderaan perdagangan bagi melindungi kenderaan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Ujar Lokman, pihaknya tidak menafikan tonto ini mempunyai maklumat kenderaan JPJ yang digunakan.

"Walaupun dikenal pasti oleh tonto tapi kami masih lagi boleh mengatasinya dan berjaya menahan kenderaan perdagangan atau kenderaan komersil yang melanggar peraturan jalan raya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan anggota dan pegawainya untuk sentiasa berhati-hati sepanjang operasi yang dilakukan.