Mogok dilakukan kumpulan bermasalah, tidak wakili semua - JPJ

Lokman ditemui pemberita selepas Op Patuh Khas di Stesen Penguatkuasa Banting, Klang pada Jumaat.
Lokman ditemui pemberita selepas Op Patuh Khas di Stesen Penguatkuasa Banting, Klang pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Protes dan mogok terhadap operasi penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan dan barangan di beberapa negeri dilakukan dengan agak terancang membabitkan kumpulan yang bermasalah.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya mendapati terdapat pelbagai tindakan seperti mogok dilakukan kumpulan pemandu lori.

Katanya, boleh dirumuskan bahawa pembabitan kumpulan terbabit tidak mewakili kesemua atau keseluruhan pemilik dan syarikat pengendali kenderaan barangan.

"Hanya segelintir yang bermasalah di negeri tertentu yang selalu melanggar undang-undang dan dikenakan tindakan hingga berasa tidak puas hati terhadap tindakan JPJ.

"Namun kebanyakan pemandu lain meneruskan operasi perkhidmatan seperti biasa kerana mereka tidak lakukan kesalahan dan hari ini kita lihat pematuhan meningkat," katanya ketika ditemui selepas Op Patuh Khas di Stesen Penguatkuasa Banting di sini pada Jumaat.

Sebuah lori yang diarah untuk timbang selepas dipercayai membawa muatan berlebihan, pada Jumaat.
Sebuah lori yang diarah untuk timbang selepas dipercayai membawa muatan berlebihan, pada Jumaat.

Mengulas mengenai alat timbang diguna JPJ ketika operasi kenderaan perdagangan, Lokman menegaskan, alat penimbang sentiasa diuji dan telah melalui proses kalibrasi yang ditetapkan mengikut undang-undang setiap enam bulan sekali.

Justeru katanya, dakwaan mengatakan bahawa alat penimbang JPJ tidak berfungsi dengan baik adalah satu tuduhan liar yang tidak tepat.

Artikel Berkaitan:

"Kami mempunyai sijil pemeriksaan dan sijil kalibrasi yang telah ditentu ukur oleh agensi yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Jadi memang alat timbang ini boleh diguna pakai dan digunakan sebagai keterangan di mahkamah," jelasnya.