Apandi gagal merayu saman Kit Siang

Mohamed Apandi (kiri) dan Kit Siang
Mohamed Apandi (kiri) dan Kit Siang
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali gagal dalam rayuannya berhubung kes saman fitnah RM10 juta terhadap bekas Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.

Ia selepas tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara menolak permohonan Mohamed Apandi pada Khamis.

Dalam penghakiman itu, Hadhariah berkata,permohonan yang dikemukakan oleh Mohamed Apandi selaku plaintif tidak mempunyai merit.

"Keputusan mahkamah tinggi dikekalkan," katanya.

Sehubungan itu, panel terbabit memerintahkan Mohamed Apandi selaku plaintif membayar kos RM100,000.

Turut bersidang hakim Datuk M Gunalan dan Datuk Azmi Ariffin.

Terdahulu Hadhariah berkata, kenyataan yang dipertikaikan telah dibuktikan benar dan wajar.

"Sekiranya reputasi plaintif terjejas ia adalah akibat perbuatan beliau sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Beliau adalah penulis kisah malang sendiri," katanya.

Ujar Hadhariah, dalam kes itu, Kit Siang selaku defendan menyatakan beliau mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Tambahnya, kes 1MDB merupakan skandal kewangan terbesar negara membabitkan dana awam di mana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut terlibat.

"Sebagai ahli Parlimen, defendan mempunyai kewajipan untuk membangkitkan perkara-perkara berkepentingan awam kepada pengundinya, terutama mengenai dana awam yang melibatkan seorang Perdana Menteri (Najib).

"Pembaca di blognya, termasuk rakyat Malaysia mempunyai hak untuk dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan ke atas skandal itu," katanya.

Menurutnya, kegagalan utama plaintif adalah dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Peguam Negara.

Katanya, terdapat tiga peristiwa penting yang berlaku di antara 2015 sehingga 2019 iaitu pemecatan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang dikatakan sedang merangka kertas pertuduhan terhadap Najib, pengumuman Mohamed Apandi bahawa wang yang masuk dalam akaun bekas Ahli Parlimen Pekan itu adalah derma Arab dan menghentikan siasatan terhadap skandal 1MDB.

"Tiga peristiwa ini mendedahkan bahawa plaintif sendiri, dengan menggunakan nama dan kedudukannya untuk membersihkan nama Najib.

"Apabila plaintif memutuskan secara tiba-tiba untuk menghentikan siasatan, bukahkah itu hanya mengukuhkan pandangan awam bahawa beliau menyembunyikan skandal 1MDB?" kata Hadhariah.

Justeru beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah dan telah membuat keputusan yang wajar.

Mohamed Apandi memfailkan rayuan tersebut selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak samannya terhadap Kit Siang berhubung artikel berkaitan 1MDB.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu pada 23 Mei 2022 atas alasan Kit Siang sebagai defendan mempunyai justifikasi dalam membangkitkan isu 1MDB menerusi artikel itu kerana skandal berkenaan membabitkan jenayah, menyalahi undang-undang, kesan sosial dan ekonomi kepada ekonomi negara serta moral pemimpin dan agensi tertinggi negara.

Pada 6 Mei 2019, Mohamed Apandi di dalam penyataan tuntutan memaklumkan Kit Siang menulis dan menyebabkan penyiaran atau penerbitan artikel bertajuk 'Dangerous fallacy to think Malaysia's on the road to integrity' dalam sebuah portal berita.

Beliau mendakwa, perkataan fitnah dalam artikel itu antara lain membawa maksud beliau bersubahat dan terbabit kegiatan jenayah terutama skandal 1MDB, tiada integriti, tidak bermoral, tidak beretika serta menyalahgunakan kuasa.