Pengurus syarikat rugi RM160,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

Lelaki berusia 40-an itu pada mulanya tertarik dengan iklan belajar pelaburan dalam talian semasa melayari Facebook pada September lepas. - Foto 123RF
Lelaki berusia 40-an itu pada mulanya tertarik dengan iklan belajar pelaburan dalam talian semasa melayari Facebook pada September lepas. - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Seorang pengurus sebuah syarikat di Bau di sini kerugian kira-kira RM160,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan saham wang menerusi grup WhatsApp.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lelaki berusia 40-an itu pada mulanya tertarik dengan iklan belajar pelaburan dalam talian semasa melayari laman sosial Facebook pada September lepas.

"Kemudian nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam grup WhatsApp ‘Stock Exchange Group’ sebelum diajar cara membuat pelaburan dalam pasaran saham oleh seorang lelaki dikenali sebagai ‘Jerry’ yang mengaku sebagai pengurus kewangan syarikat menawarkan pelaburan tersebut.

"Setelah mendengar penerangan daripada suspek, mangsa telah berminat dan membuat pelaburan melalui sebuah laman web,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, mangsa telah melakukan lima pemindahan wang berjumlah kira-kira RM160,000 ke dua akaun bank atas nama syarikat yang berlainan pada Oktober lepas.

Mohd Azman berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan berjumlah RM20,000 berikutan akaun pelaburan tersebut telah dibekukan.

"Suspek turut mengarahkan mangsa membuat pembayaran tambahan untuk membolehkan dia melakukan pengeluaran wang,” katanya.

Menurutnya, mangsa telah membuat laporan polis pada 28 Oktober lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azman menasihati orang ramai agar membuat pelaburan di platform yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. - Bernama