Peniaga rugi RM870,000 akibat pelaburan tidak wujud

Seorang lelaki mengalami kerugian RM870,000 akibat terjerat dengan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud. - Gambar hiasan
Seorang lelaki mengalami kerugian RM870,000 akibat terjerat dengan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud. - Gambar hiasan
A
A
A

BAGAN SERAI - Gara-gara mahu mendapat keuntungan besar, seorang lelaki mengalami kerugian RM870,000 akibat terjerat dengan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian daripada peniaga berusia 54 tahun itu sekitar jam 11.15 malam pada Ahad.

"Mangsa dihubungi seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp pada 24 Jun lalu dan mula membuat pelaburan dengan memasukkan duit ke dalam aplikasi mata wang kripto.

"Pada mulanya mangsa mendapat keuntungan sekitar RM1,000 selepas melabur RM5,000 dan selepas itu, mangsa berjaya mendapat semula modal pelaburan bersama keuntungan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, suspek meminta mangsa membuat pelaburan lebih besar untuk mendapat keuntungan lebih tinggi.

"Oleh kerana terpedaya, mangsa telah membuat beberapa transaksi ke tiga akaun bank melibatkan jumlah keseluruhan RM870,000 selepas dijanjikan keuntungan bernilai RM1.5 juta.

"Mangsa telah meminta suspek untuk membuat pengeluaran tetapi pelbagai alasan diberikan dan mangsa perlu membuat bayaran proses sebanyak 30 peratus daripada jumlah pengeluaran," katanya.

Mohd Yusri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Jangan terpedaya dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa singkat selain mendapatkan nasihat kewangan daripada ejen yang berdaftar," katanya.