Kes pergaduhan maut: Tiada bukti suspek warga Singapura

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Raub
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Raub
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang daripada tiga suspek yang disiasat dalam kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di sebuah premis di Jalan Terus di sini pada Jumaat mengaku warga Singapura.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, bagaimanapun lelaki berusia 26 tahun dan merupakan suspek utama kes berkenaan tidak mempunyai bukti berhubung dakwaannya itu.

"Suspek mengaku warga asing tetapi gagal mengemukakan pasport. Kita juga masih menyiasat sama ada suspek mempunyai rekod orang dikehendaki (di Singapura).

"Kes ini kini turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953," katanya.

Pada Jumaat, polis menahan tiga suspek terdiri daripada dua lelaki warga Singapura berusia 26 dan 29 tahun serta seorang wanita tempatan berumur 33 tahun bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata tajam hingga menyebabkan kematian seorang lelaki.

Dua suspek warga Singapura itu direman bermula Sabtu manakala suspek wanita tidak direman.

Pada Sabtu, Raub dilaporkan berkata, semua suspek ditahan kurang dua jam selepas kejadian dan sebelum itu polis mengesan sebuah kereta jenis Audi dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tanjung Puteri di sini.

"Semasa pihak polis cuba membuat pemeriksaan pemandu kereta terbabit terus memecut laju sehingga ke Jalan Tun Dr Ismail di hadapan Istana Besar sebelum terbabas akibat hilang kawalan dan merempuh pintu pagar istana.

Artikel Berkaitan:

"Semua suspek berjaya ditahan dan pihak polis turut merampas sebuah hulu pisau berwarna kuning dan mata pisau, sehelai baju berwarna hijau, dua helai seluar warna hitam, tiga telefon bimbit dan sehelai baju bewarna hijau putih," ujar beliau.

Katanya, hasil semakan mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati semuanya positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.