Dua lelaki warga Singapura ditahan terlibat kes pergaduhan maut

Seorang wanita warga tempatan dan dua lelaki warga Singapura dibawa ke mahkamah di Johor Bahru pada Sabtu untuk proses reman bagi membantu siasatan kes pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian
Seorang wanita warga tempatan dan dua lelaki warga Singapura dibawa ke mahkamah di Johor Bahru pada Sabtu untuk proses reman bagi membantu siasatan kes pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua lelaki warga Singapura ditahan reman selama sehari bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata tajam hingga menyebabkan kematian seorang lelaki di hadapan sebuah premis di Jalan Trus dekat sini pada awal pagi Jumaat.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Johor Bahru, Nurkhalida Farhana Abu Bakar terhadap kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 26 dan 29 tahun.

Bagaimanapun, Nurkhalida Farhana menolak permohonan reman seorang suspek wanita warga tempatan berusia 33 tahun yang turut ditahan pada Jumaat.

Semasa keluar dari bilik reman, salah seorang daripada suspek bertanya kepada sekumpulan jurugambar sama ada mereka merakam gambar dan video berkaitan kes bunuh sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek terbabit ditahan kurang dua jam selepas kejadian.

Menurutnya, sebelum itu polis mengesan sebuah kereta jenis Audi dinaiki semua suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tanjung Puteri di sini.

"Semasa pihak polis cuba membuat pemeriksaan pemandu kereta terbabit terus memecut laju sehingga ke Jalan Tun Dr Ismail di hadapan Istana Besar sebelum terbabas akibat hilang kawalan dan merempuh pintu pagar istana.

"Semua suspek berjaya ditahan dan pihak polis turut merampas sebuah hulu pisau berwarna kuning dan mata pisau, sehelai baju berwarna hijau, dua helai seluar warna hitam tiga telefon bimbit dan sehelai baju berwarna hijau putih," katanya ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Raub berkata, hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kann Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

"Pihak polis turut menyiasat kes di bawah Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pemandu kereta berkenaan disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323.