Bahaya ancaman tibi menjelang perayaan

Penyakit tibi merebak melalui udara dan boleh merosakkan paru-paru serta organ lain jika tidak dirawat awal. Gambar hiasan
Penyakit tibi merebak melalui udara dan boleh merosakkan paru-paru serta organ lain jika tidak dirawat awal. Gambar hiasan
A
A
A

TIBI atau tuberkulosis bukan sekadar nama penyakit yang kita dengar saja, ia tetap menjadi ancaman kesihatan awam di Malaysia, terutama apabila musim perayaan dan rakyat bergerak merentasi negeri untuk pulang ke kampung atau melancong.

Dalam minggu pertama Februari 2026, sebanyak 2,571 kes tibi dilaporkan di seluruh negara, menunjukkan peningkatan hampir 10 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dan sebanyak 10 kluster aktif dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Data sebelumnya menunjukkan pada 2024, lebih 26,000 kes tibi direkodkan, sedikit meningkat berbanding tahun sebelumnya, manakala kadar kematian juga menunjukkan trend yang masih tinggi walaupun sedikit menurun.

Penyakit ini kekal menjadi beban kesihatan walaupun Malaysia berusaha untuk mengurangkan jumlah kes kepada sifar menjelang 2035.

Tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria mycobacterium tuberculosis.

Ia merebak melalui udara apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap dekat dengan orang lain.

Bayangkan di musim perayaan, bila rumah dipenuhi ahli keluarga dan rakan-rakan, risiko penularan menjadi lebih tinggi jika tidak berhati-hati.

Kesan tibi boleh merosakkan paru-paru dan organ lain, jika tidak dirawat awal boleh menyebabkan komplikasi serius atau membawa maut.

Namun tibi boleh dicegah dan diubati. Langkah pencegahan asas adalah penting untuk semua.

Artikel Berkaitan:

Menutup mulut dan hidung dengan tisu atau lengan ketika batuk atau bersin, kerap mencuci tangan dan memastikan bilik sentiasa berventilasi baik boleh membantu mengurangkan risiko penyebaran bakteria.

Mereka yang mengalami simptom seperti batuk berpanjangan lebih daripada dua minggu, demam berterusan, berpeluh malam atau penurunan berat badan harus segera mendapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital terdekat untuk saringan awal.

Musim perayaan sering membawa kita bersama keluarga besar dalam ruang tertutup untuk tempoh lama. Keadaan ini meningkatkan peluang tibi merebak tanpa kita sedari.

Dengan langkah pencegahan yang betul, pemeriksaan segera kepada simptom yang mencurigakan dan kesedaran tinggi ketika berinteraksi dengan orang ramai, terutama semasa musim perayaan, kita boleh membantu memutuskan rantaian jangkitan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!