Budak maut akibat cedera di kepala, lubang dubur ketika dijaga anak jiran

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BAGAN SERAI - [DIKEMAS KINI] Tiga beranak ditahan polis berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dua bulan pada Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, laporan diterima sekitar jam 7 malam selepas mangsa dihantar ke klinik kesihatan oleh sepasang suami isteri berusia 62 dan 57 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu merupakan anak jiran pasangan terbabit dan dijaga sementara oleh anak lelakinya yang berusia 26 tahun sejak Selasa lalu. Sekitar jam 6 petang, pasangan terbabit menyedari yang mangsa tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan pada badan menyebabkan dia dihantar untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan oleh pembantu perubatan mendapati mangsa telah pun meninggal dunia.

"Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk dibedah siasat. Punca kematian adalah pendarahan di kepala akibat hentakan objek tumpul selain terdapat kecederaan seluruh badan, melecur akibat objek panas dan kecederaan pada lubang dubur mangsa," katanya.

Juna berkata, tangkapan dilakukan terhadap pasangan terbabit dan anak lelaki mereka bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Ambri Mat Nayan di talian 05-7212222 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: