Tingkat keselamatan di air terjun, pantai

Hampir setiap tahun, media melaporkan kejadian pengunjung dihanyutkan arus deras di kawasan air terjun atau ditarik ombak besar ketika mandi di pantai.
Hampir setiap tahun, media melaporkan kejadian pengunjung dihanyutkan arus deras di kawasan air terjun atau ditarik ombak besar ketika mandi di pantai.
A
A
A

PANTAI dan air terjun terus menjadi lokasi rekreasi pilihan rakyat Malaysia, khususnya apabila tiba musim cuti sekolah dan cuti umum.

Keindahan semula jadi seperti di Terengganu, Pahang dan Perak sentiasa menarik kunjungan ramai, sama ada untuk berkelah, berkhemah mahupun sekadar menenangkan fikiran. Namun, di sebalik suasana riang dan santai, insiden lemas masih menjadi isu berulang membimbangkan.

Hampir setiap tahun, media melaporkan kejadian pengunjung dihanyutkan arus deras di kawasan air terjun atau ditarik ombak besar ketika mandi di pantai.

Ada kes membabitkan kanak-kanak yang terlepas daripada pengawasan ibu bapa walaupun hanya beberapa minit. Tidak kurang juga remaja dan dewasa yang yakin dengan kemampuan diri, namun gagal menilai risiko sebenar keadaan air.

Tragedi kepala air yang berlaku secara tiba-tiba akibat hujan lebat di hulu sungai sering menjadi punca kehilangan nyawa di kawasan air terjun.

Di kawasan pantai pula, fenomena arus rip atau arus deras yang mengalir ke tengah laut sering tidak disedari orang awam.

Permukaan air yang kelihatan tenang boleh berubah berbahaya dalam sekelip mata. Malangnya, masih ada pengunjung yang mengabaikan papan tanda amaran dan arahan keselamatan.

Sikap terlalu yakin, kurang pengetahuan tentang risiko serta kecenderungan merakam gambar di lokasi berbahaya demi kandungan media sosial turut menyumbang kepada peningkatan insiden.

Bagi mengelakkan tragedi berulang, pendekatan menyeluruh perlu digerakkan.

Artikel Berkaitan:

Pengunjung harus peka terhadap perubahan cuaca dan tidak mandi ketika hujan atau selepas hujan lebat.

Ibu bapa pula perlu memastikan anak-anak sentiasa berada dalam jarak pengawasan dan memakai jaket keselamatan jika perlu.

Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan disaran menambah papan tanda amaran yang jelas dan mudah difahami, selain meningkatkan rondaan terutama pada musim puncak.

Rekreasi tidak seharusnya berakhir dengan tangisan. Dengan disiplin, kesedaran dan tanggungjawab bersama, risiko lemas di pantai dan air terjun mampu diminimumkan demi keselamatan semua.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!