Bayi perempuan 16 bulan maut tertinggal dalam kereta

Mayat bayi itu ketika dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada Selasa.
Mayat bayi itu ketika dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Seorang bayi perempuan berusia 16 bulan ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan yang diletak di kawasan parkir sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, maklumat berhubung kejadian menimpa mangsa dimaklumkan oleh kakitangan pusat kesihatan IPTA berkenaan.

Menurutnya, bayi itu dikatakan telah meninggal dunia ketika dibawa ke pusat kesihatan tersebut sekitar jam 4 petang pada hari yang sama.

"Sebaik menerima maklumat, pihak polis segera ke lokasi kejadian dan membawa mayat bayi tersebut ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat.

"Pihak polis telah memanggil bapa bayi itu untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas bapa mangsa terlupa untuk menghantar anaknya ke pusat asuhan kanak-kanak di IPTA berkenaan pada sebelah pagi.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang dikhuatiri akan menjejaskan emosi keluarga mangsa yang masih trauma dengan kejadian itu.

"Masyarakat diminta supaya tidak membuat sebarang komen atau ulasan negatif terhadap kejadian ini supaya dapat menjaga sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa, "katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!