Cara baharu ‘bunuh’ pesaing tanpa hadir di medan perang

TikTok Shop banyak membantu golongan hilang pekerjaan, namun ia merosakkan ekosistem peruncitan dan perniagaan apabila tiada kawalan. - Gambar hiasan
TikTok Shop banyak membantu golongan hilang pekerjaan, namun ia merosakkan ekosistem peruncitan dan perniagaan apabila tiada kawalan. - Gambar hiasan
A
A
A

[DIKEMAS KINI] AKTIVITI jualan barang di bawah harga normal dan jauh daripada harga modal yang disebut ‘predatory pricing’ di TikTok Shop didakwa telah ‘mematikan’ pesaingnya tanpa perlu hadir di medan perang untuk dibedil oleh musuh.

Akhirnya, usahawan dan karyawan kreatif yang menuntut ilmu perniagaan dan yang telah mengeluarkan modal sangat banyak untuk membangunkan perniagaan benar-benar ‘mati’.

Tidak dinafikan TikTok Shop banyak membantu golongan hilang pekerjaan akibat pandemik dan suri rumah menambah ekonomi keluarga namun ia merosakkan ekosistem peruncitan dan perniagaan apabila tiada kawalan.

Terbaru, sebuah butik popular tempatan yang telah 10 tahun membangunkan empayar perniagaan yang menghasilkan pakaian Muslimah akhirnya membuat pengumuman mengadakan ‘jualan selamat tinggal’.

Harga-harga jualan tutup kedai yang ditawarkan rendah seperti pemilik butik seperti kecewa dengan perkembangan ekonomi semasa.

Rata-rata komen di laman sosial Instagram butik tersebut sangat terkejut dengan pengumuman itu dan ramai yang memuji kualiti produk butik berkenaan.

Sebelum ini juga, banyak laporan tentang ‘gangguan’ ekosistem ekonomi terancam apabila banyak outlet-outlet terkemuka di pusat beli-belah terpaksa gulung tikar ataupun mengecilkan operasi.

Mengambil iktibar dari negara jiran Indonesia yang secara rasmi mengumumkan TikTok Shop ditutup pada 4 Oktober lalu, sudah sampai masa Malaysia mengambil tindakan segera sebelum lebih banyak ‘jualan selamat tinggal’ diadakan.

Sementara itu, respons terhadap tindakan Indonesia, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan meneliti terlebih dahulu tindakan sebelum merangka langkah yang bersesuaian di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Fahmi berkata, beliau sendiri pernah menerima aduan orang awam yang risau jika kerajaan mengambil langkah seperti Indonesia, namun pada masa sama beberapa gedung besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga terhadap produk-produk yang dijual menerusi platform itu.