"Jika harga beras import naik lagi, harga makanan mungkin naik"

Seorang pekerja Restoran Ahmad Foo-Halal Chinese Foodstyle menyiapkan pesanan di restoran tersebut pada Ahad.
Seorang pekerja Restoran Ahmad Foo-Halal Chinese Foodstyle menyiapkan pesanan di restoran tersebut pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kenaikan harga beras import di pasaran diakui memberikan kesan kepada kos operasi restoran dan kedai makan yang menggunakan beras jenis tersebut.

Pengarah Restoran Ahmad Foo-Halal Chinese Foodstyle, Ahmad Fuad Marzuki, 34, berkata, kira-kira 120 hingga 160 kilogram (kg) beras import digunakan di enam outletnya setiap hari.

Menurutnya, kenaikan harga beras import sehingga RM38 bagi setiap 10 kg beras jelas memberikan kesan kepada kos operasi hariannya namun masih belum membuat keputusan untuk menaikkan harga makanan yang dijual di restoran tersebut buat masa sekarang.

"Sebelum ini harga bagi 10 kg beras import jenama yang selalu kami beli adalah sekitar RM30 sahaja tapi kini telah meningkat kepada RM38.

"Buat masa ini kami masih menyerap kos tersebut dan akan melihat sehingga hujung tahun ini. Jika berlaku kenaikan lagi kami mungkin terpaksa memikirkan kembali sama ada perlu menaikkan harga makanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pekerja Restoran Ahmad Foo-Halal Chinese Foodstyle, Khairul Nizam Musa, 23, menunjukkan set ayam dan itik yang menjadi antara menu istimewa di restoran tersebut.
Pekerja Restoran Ahmad Foo-Halal Chinese Foodstyle, Khairul Nizam Musa, 23, menunjukkan set ayam dan itik yang menjadi antara menu istimewa di restoran tersebut.

Sebagai seorang usahawan, Ahmad Fuad berkata, semua kos perlu dilihat dan dinilai dari masa ke masa bagi memastikan restoran serta outlet-outlet yang ada terus kekal beroperasi termasuk menjaga kebajikan 34 pekerjanya.

Menurutnya, ada cadangan agar menggantikan beras import dengan dengan beras putih tempatan kerana harganya lebih murah, namun kualitinya dilihat akan menjejaskan rasa hidangan makanan yang disediakan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Selain kenaikan harga beras import yang ketara, kami juga perlu menyerap kenaikan barang basah lain seperti bawang putih dan sayur," ujarnya.

Kenaikan harga beras import itu juga diakui memberikan kesan kepada peniaga kedai makan, Aziz Ariffin, 55, kerana bergantung penuh kepada beras tersebut.

Menurutnya, jika harga beras import terus meningkat, beliau percaya peniaga makanan kecil tidak mampu lagi menyerap kenaikan kos dan akan menaikkan harga makanan.

"Memang ada cuba menggunakan beras tempatan namun kualitinya tidak digemari pelanggan sebab itu ramai memilih kekal dengan beras import.

"Sebenarnya kerajaan juga perlu melihat dan mengawal kenaikan harga beras import kerana secara tidak langsung memberikan kesan kepada kenaikan harga makanan," ujarnya.