Tahap pematuhan majikan pekerja asing sektor perkhidmatan paling rendah

Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution Ismail.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap pematuhan majikan yang menggaji pekerja asing di negara ini dalam aspek menjaga kebajikan dan kepentingan pekerja masih belum memuaskan, dengan sektor perkhidmatan mencatatkan pelanggaran undang-undang paling tinggi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehubungan itu, beliau menggesa para majikan supaya memberi perhatian dalam aspek undang-undang berkait tempat tinggal, masa bekerja dan gaji pekerja asing masing-masing.

"Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan agensi kawal selia melaksanakan penyiasatan, dan sekiranya ia berkaitan pelanggaran seksyen dan undang-undang tertentu boleh membawa kepada kertas siasatan dibuka dan berakhir di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali kesembilan, di sini pada Rabu yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, VSivakumar.

Sektor perkhidmatan termasuk restoran, pencucian dan pembersihan, perniagaan borong dan runcit, dobi, hotel, pusat peranginan, spa, kargo, pelabuhan dan lapangan terbang, serta perniagaan barang lusuh.

Saifuddin berkata, tahap pematuhan majikan yang menggaji pekerja asing, dipantau oleh naziran atau inspektorat, susulan langkah kerajaan untuk melaksanakan pelan kelonggaran dan dasar rekalibrasi pada awal tahun ini, bagi memudahkan majikan menggaji pekerja asing.

"Pelan kelonggaran bermaksud, semua permohonan untuk mendapatkan pekerja asing dipermudahkan, di mana syarat-syarat kelulusan kuota seperti amalan terdahulu diketepikan sementara, tapi tidak ada kompromi dari segi kepatuhan maka naziran dilaksanakan,” katanya.

Saifuddin berkata, empat lagi sektor yang turut diperiksa naziran ialah sektor pembinaan, pertanian, perladangan dan perkilangan.

Beliau berkata, laporan naziran yang dibentangkan pada mesyuarat hari ini mendapati, sektor perkhidmatan sehingga 9 Okt mencatatkan kemasukan pekerja asing seramai 142,204 orang, berbanding unjuran yang dilaksanakan oleh agensi kawal selia iaitu 20,000 orang.

Artikel Berkaitan:

Mengenai status kemasukan pekerja asing secara keseluruhan, setelah pelan kelonggaran dan dasar rekalibrasi dijalankan, beliau berkata sehingga 9 Oktober kemasukan pekerja asing yang telah diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) ialah 667,418 orang, dan sasaran suku pertama tahun ini iaitu sebanyak 518,000 pekerja asing telah berjaya dipenuhi.

Saifuddin berkata, bagi sektor pembinaan, unjuran ialah 301,000 pekerja asing diperlukan berbanding kemasukan (hingga 9 Okt) ialah 222,230 orang dan masih ada pengurangan hampir 80,000.

Beliau berkata, bagi sektor pertanian, unjuran ialah 90,000 pekerja asing diperlukan dan pekerja asing yang telah masuk ke negara ini ialah 53,648, perladangan (unjuran 57,000, kemasukan 52,123) sementara bagi perkilangan (unjuran 50,000, kemasukan 197,213).

Saifuddin berkata, daripada data yang dibentangkan dalam mesyuarat hari ini, tiga sektor mengalami defisit dan dua sektor mengalami lebihan.

Beliau berkata, pada masa ini, jumlah pekerja asing yang telah diberikan PLKS ialah hampir 1.7 juta dan jumlah itu memadai dan selepas ini, kerajaan hanya akan memantau kuota yang telah diluluskan dan tidak ada lagi permohonan untuk kuota baharu.

"Terdapat kuota yang telah diberi kelulusan, namun pekerja asing masih belum dibawa masuk ke negara ini dan dasar yang ditetapkan Kementerian Ekonomi ialah jumlah pekerja asing dalam negara, syilingnya tidak boleh melepasi 2.4 juta menjelang 2025,” katanya.

Saifuddin berkata, dalam mesyuarat hari ini, turut dibentangkan ialah kertas bagi tiga subsektor iaitu tukang gunting, pekerja tekstil dan tukang emas, bagi seramai 7, 500 pekerja asing yang telah dibuka dan boleh dipohon.

Satu lagi kertas yang diberikan pertimbangan pada hari ini ialah permohonan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, untuk membuka subsektor pekerja asing bagi taman tema bagi memenuhi keperluan 78 taman tema di seluruh negara. - Bernama